HUKUM dunia berkaitan kehidupan manusia salah satunya ialah jangan berjumpa kawan-kawan jika anda dalam kesusahan. Kesusahan yang anda bawa akan menjadi satu lagi beban untuk menambahkan kerisauan kawan-kawan.
Kawan-kawan tidak akan senang berjumpa anda, jika anda dalam keadaan susah kerana mereka bimbang kunjungan anda adalah untuk meminta bantuan.
Apatah lagi jika kehidupan anda hanya sekadar cukup makan. Berdetik hati kawan-kawan bimbang anda akan mengucapkan perkataan "tolong" dan perkataan itulah yang amat ditakuti kawan-kawan anda.
Keadaan akan berubah jika anda telah senang kerana kawan-kawan tidak akan berasa bimbang langsung wang dalam saku mereka akan kehilangan dirampas oleh kawan yang susah seperti anda.
Demikian antara yang saya belajar sedikit tentang kehidupan ini baru-baru ini. Walaupun saya tidak berniat untuk meminta tolong wang ringgitnya, tetapi apabila dimaklumkan bahawa saya ingin menemuinya, dia telah memberi pelbagai alasan yang sama sekali tidak masuk akal.
Dia seorang rakan dan kawan karib saya sejak kecil. Dia kini memegang jawatan tinggi di dalam jabatan kerajaan dan selepas lebih empat kali membuat temu janji tapi dihampakan oleh pelbagai alasan pada saat-saat akhir, saya pasti ia bukan kebetulan.
Saya pasti benar, dia amat berasa bimbang duit dari gajinya yang mencecah RM15,000 sebulan itu akan saya minta untuk dimasukkan ke saku saya. Mungkin begitu fikirnya dan saya tidak boleh berkata apa-apa.
Sebenarnya, saya hanya mahu berjumpa untuk memberitahunya bahawa salah seorang timbalan ketua jabatan yang sepejabat dengannya selama ini adalah anak saudara saya!
Kini baru saya tahu hati budi seorang kawan yang sejak kecil sama-sama melastik burung rupanya, menghargai duit melebihi sebuah persahabatan. Maka saya pun memberitahu anak saudara saya supaya jangan dedahkan identiti dia kepada kawan karib saya itu sehingga bila-bila.
Tapi segala kenangan manis saya dan kawan saya itu sejak kecil, sama-sama belajar dan sama-sama meniti kehidupan susah sebagai anak orang kampung tidak akan saya buang hanya kerana dia tidak lagi menghargai makna sebuah persahabatan.
Nasihat saya kepada semua jangan cari kawan-kawan yang telah berjaya, tetapi carilah kawan-kawan anda yang dalam kesusahan. Mereka akan lebih menghargai makna sebuah persahabatan!