SIKIT-SIKIT orang politik. Sikit-sikit orang politik. Inilah amalan kerajaan sejak 53 tahun lalu. Semua jawatan pengerusi, ketua pegawai eksekutif atapun penasihat agensi kerajaan atau syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan (GLC) mesti diberikan kepada orang politik!
Khabar terbaru, bekas menteri besar Negeri Sembilan, Isa Samad mahu dilantik ke jawatan pengerusi Felda ganti Yusof Noor. Cuma Isa yang kini berusia 61, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, masih menafikannya dengan alasan tidak tahu menahu.
Tidak bolehkah kerajaan lari atau keluar dari kepompong budaya mengambil orang politik daripada mengetuai agensi atau GLC. Ini kerana cara ini sebenarnya salah kalau diukur dengan konsep rakyat didahulukan yang kononnya diperjuangkan kerajaan hari ini.
Apakah di negara yang ada 27 juta penduduk sudah tidak ada masyarakat biasa yang berkelayakan, masih muda dan berpengetahuan dilantik mengetuai GLC atau agensi kerajaan? Apa bagus sangatkah orang politik itu sehingga semua benda mesti pusing keliling dengan orang politik sahaja?
Sebenarnya budaya kuno yang diamalkan kerajaan inilah yang menyebabkan tahap ekonomi rakyat Melayu khsususnya tidak dapat dibetulkan graf dan lanskapnya selepas 53 tahun merdeka. Sebenarnya, budaya dahulukan orang politik dan ketepikan rakyat inilah yang menyebabkan banyak GLC dan agensi yang dibenarkan berniaga tidak untung dan kalau untung pun tidak berbaloi! Sebenarnya kaedah pemilihan sebeginilah menyebabkan DEB yang mensasarkan 30 peratus ekuiti orang Melayu tidak tercapai sejak berpuluh tahun lalu.
Pandai sangatkah orang politik mengetuai sesebuah entiti perniagaan yang turut mempunyai tanggungjawab sosialnya ke atas rakyat? Apakah modal dan milik perniagaan dalam sesebuah agensi atau GLC itu adalah hak dan kepunyaan kerajaan atau parti tertentu? Hak rakyat, terutamanya duit rakyat yang menghidupkan agensi atau GLC itu bagaimana?
Amat pelik dan menghairankan, daripada 27 juta rakyat yang ada, orang politik juga yang dipilih. Sudahlah orang politik itu mendapat sebegitu banyak keuntungan dan merit kerana terbabit dalam politik selama ini, diberikan lagi keuntungan dan peluang yang berterusan. Di mana hak rakyat sebenarnya?
Tidak bolehkah jawatan ketua bagi agensi atau GLC itu dibuat secara terbuka dan diiklankan pengambilannya menggunakan cara dan pelantikan yang telus dan jujur?
Kata orang Negeri Sembilan, bangang sangatkah rakyat hari ini sehingga tidak layak mengetuai agensi atau GLC?
Sudah-sudahlah mengamalkan budaya yang mementingkan kawan, kroni dan kenalan untuk mengisi jawatan tertinggi dalam agensi atau GLC. Cukup-cukuplah kerana rakyat tahu bahawa budaya begini amat buruk kelihatannya dan tidak dapat lari daripada mempunyai agenda dan kepentingan politik tertentu.
Soalan ini sama ditujukan kepada kerajaan pembangkang! Jangan fikir rakyat telah buta mata untuk mengiya dan mengengehkan sahaja apa yang berlaku hari ini. Rakyat juga berhak untuk senang dan mewah, sama seperti ahli politik yang asalnya senang dan mewah kerana dilantik oleh rakyat.
Jangan jadikan kuasa dan politik sebagai lesen untuk melombong kekayaan di dalam agensi atau GLC, sedangkan keringat dan air mata rakyat terus mengalir sejak merdeka.
Berubahlah sebelum disumpah menjadi sesumpah oleh rakyat yang marah. Agihkan kedudukan, kesenangan dan kemewahan sama rata. Rakyat mahu juga menjadi pengerusi atau ketua pegawai eksekutif GLC, bukan hanya ahli politik, kroni atau pencacai mereka sahaja! Rakyat sekarang tidak sebodoh dulu, terutamanya generasi muda Melayu. Tak percaya? Tunggu dan lihat pilihanraya ke 13 nanti!