BARANGKALI Sharizat Jalil tidak perlu pening-peningkan kepala untuk memikirkan masalah Siti Maryam Mahmood, 14, yang telah selamat bernikah dan menjadi seorang isteri.
Kini yang terbaru, Sharizat harus menangani dan memahami penderitaan seorang remaja 16 tahun dari Rawang yang terpedaya dengan teman lelaki berusia 24 tahun, sehingga sanggup melarikan diri dari keluarganya.
Bagaimanapun untuk pengetahuan Sharizat, nasib remaja itu tidak sebaik Siti Maryam, apabila dia bukan sahaja diabaikan kekasihnya, tetapi dijadikan pula amah di rumah keluarga pemuda itu!
Remaja 16 tahun itu berkenalan dengan pemuda Sabah berkenaan ketika bekerja di sebuah syarikat katering. Hubungan mereka bagaimanapun tidak direstui oleh keluarga remaja perempuan. Ekoran itu, dia berpakat dengan teman lelakinya melarikan diri ke Kota Kinabalu, meninggalkan keluarganya di Rawang, Selangor.
Dia bernasib malang wahai mak cik Sharizat. Remaja 16 tahun yang tidak bersekolah lagi itu yang didera sebagai amah sejak 9 November lalu di dalam keluarga teman lelaki sendiri di Kampung Kelompong, Kota Kinabalu, berjaya melarikan diri beberapa hari lalu.
Dia akhirnya membuat laporan polis di Balai Polis Menggatal, meminta bantuan dihantar pulang ke rumah keluarganya di Rawang.
Sharizat boleh menghantar pegawainya ke balai polis Menggatal untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kes ini dan buanglah rungsing tidak bertempat daripada membebel mempertikaikan perkahwinan Siti Maryam.
Banyak sangat kes sosial remaja kini yang terkeluar dari sisi dan fokus pandangan Sharizat!