nuffnang ads

Tuesday, December 21, 2010

BIARLAH LEMBU ANGKAT EKORNYA SENDIRI.

Ada blogger masih muda usianya, dek kerana emosi agaknya meluahkan cerita. Katanya sejak berblogging hampir setahun, dia mulai rimas dan mual dengan sikap segelintir blogger yang sering mendabik dada tentang gah dan bagusnya mereka.

Dek marah agaknya saya petik sedikit ungkapan anak muda yang sebetulnya bukan cemburu, tapi katanya rimas dengan sikap akulah bagus itu. Demikian: "Mentang-mentanglah ramai follower mula nak tunjuk kat orang blog aku ni bagus. Banyak orang suka dan banyak orang pandang kononnya hebat. Pada hal kalau diukur dengan mesin pengukur, blognya taklah seberapa. Jenis angkat bakul pak cik. Meluat juga kadang-kala membacanya"

Wow...saya pun beri segelas nasihat. Kalau boleh saya mahu dia teguk habis-habis kemudian telan biar sampai masuk ke darah daging.

Saya kata, walaupun kamu kata blog kamu tidak seberapa dan kamu rimas melihat orang mendepang dada, biarkanlah. Bukankah lembu itu akan mengangkat ekornya sendiri bila dia membuang najisnya? Dia tak akan minta tuannya angkatkan ekornya!

Kemudian saya kata, setiap orang ada hak. Blog adalah ruang milik peribadi, kecuali melanggar batas yang boleh mencetuskan implikasi di segi undang-undang, barulah kita ambil sedikit peduli. Kalau tidak biarlah. Yang penting kamu belajarlah untuk menjadi lebih daripada orang yang kamu meluat itu. Bukan lebih di segi angkat bakulnya, tetapi lebih di segi usaha untuk menunjukkan kepada orang lain, kita pun bagus juga, atau lebih bagus.

Demikian cetusan anak muda yang barangkali terpijar oleh haba emosi melihat kelaku dan gaya manusia lainnya. Saya kata juga, dalam apa yang kita buat bukan apa yang kita cakap atau kita laung-laungkan itu menjadi ukurannya, tetapi penilaian orang.

Kata saya, jangan iri hati dan jangan berburuk sangka, terutama blog adalah wadah untuk mencungkil bakat menulis. Lebih 20 tahun menulis, saya rasa pengalaman dalam dunia kewartawanan yang ada pada saya yang saya ceritakan sedikit sebanyak dapat juga meredakan rimas anak muda itu.

Cuma pesan saya, dalam dunia penulisan termasuk juga dalam blog, jangan menyinggung perasaan orang. Dunia penulisan itu sebenarnya luas tidak bersempadan dan sedikit kekhilafan boleh meletakkan diri kita atau diri orang lain serba salah atau bersalah.

Macam kata orang dulu-dulu, sekilas ikan di air kita akan tahu jantan betina. Jadi carilah pengalaman seluas atau sebanyak mungkin untuk jadi orang yang dapat mengukur dalamnya laut. Anak muda itu wajahnya cerah. Saya katakan padanya kalau soal follower jadi risau, kenapa harus bimbang. Saya pun ada follower berapa kerat sangat, malah tidak seramai follower pada blog anak muda itu, tetapi kadang-kala cecah ribuan juga trafik blog saya. Barulah anak muda itu pun teruja dan wajahnya tidak lagi mendung atau hangat penuh haba.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10