SEORANG anggota polis yang bertugas di sebuah balai polis di Gombak, dipukul dan dicederakan sehingga teruk oleh isteri dan kekasih isterinya, sebelum ditinggalkan di depan Hospital Slim River, Perak, beberapa hari lalu.
Perbuatan isteri tidak bertanggungjawab ke atas suami sendiri itu terbongkar apabila polis mengesyaki sesuatu yang pelik di sebalik kehilangan anggota polis berpangkat koperal itu sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata, isteri polis berkenaan membuat laporan konon suaminya hilang selepas keluar dari rumah pada 12 November lalu.
Bagaimanapun, semuanya palsu apabila polis menemui seorang pesakit di hospital Slim River baru-baru ini. Rupa-rupanya pesakit itu adalah anggota polis yang hilang dan dia cedera teruk di kepala serta hilang ingatan selepas dipukul dengan teruk.
Polis percaya dia dipukul kekasih isterinya yang berusia 27 tahun. Menurut saksi dia dihantar ke hospital beberapa hari lalu oleh satu pasangan lelaki dan wanita dan pasangan itu menurut polis adalah isterinya dan kekasih isterinya yang cuba bersandiwara.
Kini polis sedang menyiasat secara mendalam motif perbuataan isteri anggota polis itu dan akan menunggu sehingga suaminya pulih untuk mendapatkan keterangan bagi membantu siasatan.