DUNIA pemblogan semakin rencam. Saya cadangkan sedikit tips buat yang selalu mengeluh tentang apa yang boleh ditulis, dicatat, dicoret atau digarap untuk menarik ingin blogger lain membacanya.
Menarik ingin pembaca boleh dilakukan dengan menulis sesuatu yang baharu dan segar. Boleh juga sesuatu yang dikitar semula, sesuatu yang di luar kebiasaan, sesuatu yang bersifat 'human interest' - sama ada lucu, pelik, sedih dan menyebakkan jiwa bila membacanya!
Semua ini ada dalam kitaran atau lingkungan kehidupan kita. Cuma proses memilih sesuatu yang sesuai itu sahaja sering menjadi kekangan. Sebagai contoh, tulis sesuatu mengenai sejarah atau cerita dulu-dulu tentang kita, tentang keluarga atau jiran atau sahabat kita. Misalnya, satu kenangan indah atau pahit ketika di sekolah menengah.
Misalnya, pernah masukkan surat cinta ke dalam buku kepada seorang guru yang amat kita gilai! Atau fasal kegagalan dalam PMR dan SPM tetapi bangkit semula apabila memasuki kolej atau universiti. Atau contoh seperti blogger kita Aini, yang menulis tentang kisah RM2 yang tinggal dalam saku sahabatnya, Anum ketika zaman pengajian dulu. Kisah Anum anak orang miskin yang tabah menjalani hidup!
Atau mengenai perseteruan antara keluarga sehingga ada keluarga tersisih. Atau fasal anak yang berbahagi kasih apabila keluarga runtuh atau apabila ayah berkahwin lagi atau cerita kampung yang masih tertinggal selepas 53 tahun merdeka, tanpa bekalan air, tanpa bekalan elektrik, atau fasal anak orang kaya yang hidup mewah tapi jiwa lara atau menderita. Atau kisah jadi anak nelayan tolong mengutip ikan, membasuh sampan, mencari kupang, kepah atau menjala ikan. Atau kisah anak petani, teringat zaman duduk di pondok menghalau burung sambil makan nasi berlauk ikan kering dan kini bendang telah tiada digantikan bangunan atau rumah.
Atau kisah abang atau kakak yang sulung berkorban bekerja tidak meneruskan pengajian demi mahu memastikan adik-adik masuk universiti dan berjaya. Atau kisah adik-adik yang lupa daratan pada kakak atau abang yang banyak berjasa membiarkan mereka sendirian sehingga tua!
Tentang kehidupan di sekliling kita, contohnya terserempak anjing dan kita memanjat pokok lari ketakutan seperti tupai, atau jatuh perigi atau pengalaman digigit ular atau lintah gigit badan ketika kecil mandi di parit atau sungai! Dan pelbagai kisah tentang kehidupan dulu, sekarang dan pandangan kita tentang kehidupan masa depan, bersuami/beristeri, berumahtangga ada yang bahagia dan ada yang derita ditinggalkan pasangan. Bagi saya sedikit catatan tentang peristiwa-peristiwa ini kalau digarap dengan kreativiti dan dimanipulasi dengan cara yang boleh menyentuh perasaan atau emosi blogger lain akan menyebabkan blog kita sering juga didatangi tetamu! Saya rasa tidak semestinya bergantung kepada follower untuk meningkatkan trafik tetamu masuk ke rumah blog kita. Biar blog hanya teratak buruk, tapi auranya ada untuk menarik ingin orang datang berkunjung.
Catatan ini saya tulis sebagai pandangan kepada dua pertanyaan yang diemelkan kepada saya tentang bagaimana dan apakah yang boleh kita catatkan di dalam blog untuk menarik pembaca. Hanya sekadar pandangan daripada saya yang tiada ilmu. Kalau ada kebaikannya semua dari Allah, kalau ada kekurangannya itu dari saya. Salam untuk semua blogger.