SEKUMPULAN lima penjenayah yang cuba menyamun pemilik sebuah rumah di Jalan SS8/8, Kelana Jaya, Selangor, terpaksa menerima hadiah paling mahal apabila salah seorang mereka ditembak mati oleh pemilik rumah berkenaan, kira-kira jam 9.45 pagi tadi.
Penjenayah yang mati itu berusia 17 tahun! Sebelum itu dia dan seorang lagi rakannya bersenjatakan parang berjaya mengumpil pintu rumah dua tingkat itu dan rakannya mengawal 4 ahli keluarga rumah mangsa sebagai tawanan, bersenjatakan parang.
Tiga rakannya yang lain dikatakan menunggu di luar rumah. Namun pemilik rumah, seorang pesara berusia 70 tahun yang menyedari bahaya sedang mengancam ahli keluarganya bertindak mengambil senapang patahnya.
Bedebammm! Bedebamm! Dua das dilepaskan, salah satu tersasar tetapi satu das mengenai rusuk penjenayah berusia 17 tahun itu.
Penjenayah yang cedera ditembak dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tetapi meninggal dunia dalam perjalanan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Khaw Kok Chin mengesahkan kejadian itu.