RAHSIA latihan pemanah Korea Selatan yang sekian lama tertutup rapat sejak mereka meraih emas dalam acara wanita memanah Sukan Asia sebanyak empat kali berturut-turut termasuk terbaru semalam di Guangzhou, akhirnya terbongkar.
Wartawan akhirnya menerima maklumat dan bertanyakan kepada jurulatih memanah Korea Selatan, Cho Eun-Sin.
"Ya..benar. Kami memang menggunakan ular berbisa sebagai sebahagian daripada kaedah latihan kepada pemanah bagi menaikkan keberanian dan semangat mereka ketika di saat-saat genting," akui Cho selepas kaedah latihan itu terbongkar.
Menurut Cho, latihan bermain bersama ular itu ternyata amat berkesan terutama apabila pasukan pemanah wanitanya berjaya mengekalkan kejuaraan Sukan Asia selama empat kali berturut-turut.
Semalam, ketika terikat dua kali untuk penentuan pingat emas dengan China selepas seri dengan mata yang sama, tiga pemanah Korea Selatan, memanah tepat 10 mata penuh pada peringkat penentuan itu.
Sementara China tewas selepas seorang pemanahnya tersasar manakala dua yang lain juga meraih mata penuh.
Jurulatih China, Tian Yu Lin, mengakui antara kaedah latihan digunakan untuk menanam semangat keberanian di kalangan pemanahnya ialah dengan menyentuh belakang badan harimau di zoo negara itu. Sentuhan itu menaikkan semangat pemanah mereka.
Menurutnya, setiap pemanah diwajib menyentuh belakang badan harimau di zoo sebagai rutin latihan harian mereka.