SEORANG pemuda, Muhamad Tasleem Tahir, 21, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Southport, Australia atas tuduhan memotong lidah dan pipi bekas kekasihnya, pagi Sabtu lalu di sebuah apartmen di Gold Coast.
Tertuduh, kini warga Australia bertindak kejam memotong lidah dan pipi Catherine Jessica Cameron, 20, selepas wanita itu enggan membenarkannya mengucup ketika datang ke apartmen mangsa, Surfers Paradise, jam 1.30 pagi Sabtu lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Tahir yang telah terputus hubungan dengan Jessica datang ke apartmen wanita itu awal pagi dengan tujuan memujuk dan berbincang tentang hubungan mereka. Ketika berada di dalam bilik, Tahir cuba mengucup bibir bekas kekasihnya itu tetapi Jessica tidak membenarkannya.
Tahir berang kerana Jessica tidak membenarkannya mengucup lalu bertindak memotong separuh daripada lidah mangsa sebelum memotong pipi mangsa. Mahkamah diberitahu Tahir berniat untuk membunuh, tetapi Jessica terselamat kerana dia berpura-pura mati sambil menahan sakit.
Mahkamah mengarahkan Tahir ditahan di penjara hari ini selepas dia gagal menyediakan wang jaminan yang dikenakan ke atasnya. Pada masa sama, Jessica pula dinasihatkan berpindah dari kediamannya, mengubah identiti dan memulakan hidup baru bagi mengelak nyawanya terancam.
Hakim Garry Finger, menunda kes itu kepada 26 November depan selepas peguambela Tahir, Bernard Battley mengemukakan rayuan. Bagaimanapun, Finger mengarahkan Tahir memberi keterangannya menerusi video apabila perbicaraan bermula nanti atas alasan dia seorang yang berbahaya dan perlu ditahan di dalam penjara.