POLIS sedang menjalankan gerakan menyiasat dan memburu pihak tertentu yang mengugut untuk menyembelih bekas pelajar Maktab Tentera DiRaja, Datuk Mizal Zaini, 39, yang disiarkan menerusi blog dan laman facebook baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaludin berkata, keterangan Mizal yang juga pengacara dan artis terkenal di negara ini sudah direkodkan dan laporan mengenainya pula diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).
Selain membuat ugutan kepada AC Mizal, penulis blog berkenaan melemparkan ugutan kepada pekerja dan kakitangan syarikat artis itu yang didakwa melakukan penipuan berhubung harga kos dan harga jualan produk syarikat berkenaan.
Difahamkan, setakat ini terdapat lima laman web yang dikaitkan memburuk-burukkan nama dan syarikat artis itu sejak kebelakangan ini.
Menurut Amiruddin, polis tetap memberi perhatian terhadap sebarang bentuk ancaman dan ugutan yang diterima artis yang juga anak bekas seorang pegawai kanan polis itu, walaupun laporan dihantar kepada SKMM untuk siasatan seterusnya.
Pada masa sama AC Mizal sudah membuat laporan kepada SKMM berhubung fitnah terhadap produk syarikatnya menerusi internet.