KETIKA kerajaan Indonesia baru sahaja mengarahkan pegawai tertinggi meneliti kes penderaan seorang pembantu rumahnya di Arab Saudi, minggu ini, satu lagi kejadian menyayat hati menimpa pembantu rumah warga negara itu dilaporkan hari ini.
Seorang pembantu rumah dikenali sebagai Kikim Komalasari, 36, ditemui dibunuh oleh majikannya dan mayatnya pula ditemui di tempat pembuangan sampah di bandar Abha.
Terkejut menerima berita itu, Presiden Susilo Bambang Yudoyhono hanya mampu berkata: "Tidak berperikemanusiaan!"
Minggu ini Susilo mengarahkan pegawainya meneliti dan memantau kes seorang pembantu rumah Indonesia, Sumiati Salam Mustpaha, 23, yang cedera didera majikannya, termasuk dicucuh api pada badan dan digunting bibirnya.
Namun berita terbaru tentang kematian Kikim menyebabkan presiden itu mengarahkan pegawainya terus ke Arab Saudi hari ini. Malah Duta Besar Indonesia di Arab saudi dilaporkan telah pergi melihat sendiri tempat mayat Kikim dibuang.
Kikim dipercayai ditetak dilehernya dengan senjata tajam dan hampir seluruh badannya luka, dipercayai dilakukan oleh majikannya. Paling menyayat hati, mayatnya dibuang begitu sahaja di tempat pembuangan sampah!