Angela Jabing kesal anaknya dirotan 10 kali hanya kerana membawa makanan tidak halal ke sekolah....di mana konsep 1Malaysia? |
Angela Jabing, 35, mendakwa makanan nasi goreng berlaukkan sosej babi itu hanya untuk makanan anaknya dan anaknya pula tidak menawarkan makanan itu kepada pelajar lain, tetapi Iskandar bertindak melampaui konsep 1Malaysia, tanpa memberi peluang anaknya memberi alasan.
Geram dengan insiden itu, Wanita PKR negeri, diwakili Ketua Wanitanya, Ibi anak Uding dan timbalannya Nurhanim Hanna Moksen, membuat sidang akhbar mendakwa tindakan Iskandar amat keterlaluan sementelah pula tiada pekeliling dikeluarkan jabatan pendidikan mengenai perkara itu.
Malah menurut Angela, pengetua sekolahh berkenaan, Alice Chung yang ditemuinya pada 19 Oktober lalu juga memberi kenyataan mengejutkan iaitu, Iskandar dikatakan ada membuat pengumuman pada perhimpunan pelajar Februari lalu, melarang pelajar sekolah berkenaan membawa makanan tidak halal!
Nampaknya, peraturan ditentukan mengikut individu dan tidak berdasarkan kepentingan umum. Menurut Angela lagi, beliau tidak berpuas hati dengan insiden itu kerana anaknya semakin trauma dan kini enggan membawa bekalan makanan dari rumah, ekoran kejadian itu.
Dia meminta Iskandar dipindahkan dari sekolah berkenaan kerana mendakwa tindakannya merotan sehingga 10 kali di tapak tangan anaknya satu tindakan yang tidak berdasarkan peraturan jabatan pelajaran.
Kini kes itu masih belum selesai walaupun pihak sekolah ada meminta maaf. Bagi Angela memang dia berhak mempertahankan hak anaknya apatah lagi membawa bekalan makanan dari rumah adalah salah satu cara memastikan anaknya mendapat makanan yang sesuai dan berzat.
Kini Angela akan memanjangkan kes ini kepada Kementerian Pelajaran dan sebelum itu dia mahu Iskandar sebagai penolong pendaftar sekolah berkenaan dipindahkan kerana tidak peka dengan keperluan semasa masyarakat berbilang kaum di negara ini.