SEORANG peguam terbunuh selepas dia diserang empat lelaki bersenjatakan pisau ketika tiba di rumahnya dari pejabat,, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof, berkata G Balasunderam, 57, diserang di rumahnya di Desa Rishah, kira-kira jam 6 petang dan mati di Hospital Raja Permaisuri Bainun, jam 9 malam.
"Sebaik sahaja peguam itu keluar dari kereta setibanya di rumah, 4 lelaki bersenjatakan pisau menyerangnya. Peguam itu yang cedera parah, rebah ke tanah," katanya.
Zakaria berkata, empat lelaki itu melarikan diri menaiki motosikal dan isteri mangsa, L Puspha, 48, menghantar suaminya ke hospital.
Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi 05-2451222.