LAGAK dan gayanya, tak mencerminkan langsung latar belakangnya namun banyak pemandu wanita telah menjadi mangsanya.
Dia biasanya akan menahan pemandu wanita yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu di sekitar Brickfields. Konon dakwanya, perbuatan itu salah dan pemandu akan dikompaunkan kerana melakukan kesalahan.
Sambil memperkenalkan dirinnya sebagai Inspektor ABC, dia kemudian merampas telefon bimbit milik mangsa dan kemudian meminta mangsa datang ke balai polis Bangsar untuk menjelaskan kompaun. Selepas kompaun dibayar barulah telefon itu akan dipulangkan.
Namun itu hanyalah helah dan taktik seorang Mat Despatch yang berusia 31 tahun yang bekerja di bandaraya untuk mengelirukan mangsa. Apabila mangsa pergi ke balai, ternyata tiada mangkuk hayun pun bernama inspektor itu.
Sekurang-kurangnya empat pemandu wanita telah menjadi mangsa Mat Despatch itu, namun jangka hayatnya untuk berlagak sebagai seorang Inspektor polis tidak lama.
Pada 31 Oktober lalu, dia diberkas sepasukan polis selepas menerima maklumat orang ramai. Malah berdasarkan siasatan awal mendapati motosikal yang digunakan oleh 'inspektor' itu adalah motosikal curi di sekitar Dang Wangi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan penangkapan inspektor palsu itu.
p/s Nak menyamar tu biarlah berpada-pada. Takkanlah inspektor nak naik motosikal cabuk, tahan pemandu seorang diri. Menyamarlah jadi konstabel dulu.