LAPAN pekerja cedera apabila sebuah mesin pengumpulan habuk di kilang membuat rim kenderaan, Excel Rim Sdn Bhd, di Kawasan Perusahaan Prai, meletup dan mengeluarkan percikan api, lalu membakar keseluruhan kilang itu pagi ini.
Kesemua mangsa dikatakan tercampak apabila mesin itu mengeluarkan letupan, manakala 70 pekerja lain selamat dalam kejadian berlaku jam 10.15 pagi tadi yang kerugiannya dianggarkan lebih RM1 juta.
Mereka dikejarkan ke Hospital Seberang Prai dan Hospital Pakar Bagan untuk mendapatkan rawatan manakala bomba yang tiba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 15 minit. Bagaimanapun, kilang berkenaan berkenaan gagal diselamatkan sementara dua kilang berdekatan turut rosak di bahagian bumbung.
Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohamad Razam Taja Rahim, berkata pihaknya terpaksa menggunakan kaedah semburan buih bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke beberapa kilang lain.