PERTELINGKAHAN di antara penyanyi dangdut, Aida Saskia dan tokoh agama, Kiai Haji Zainudin MZ, akhirnya masuk ke babak akhir, apabila kedua-dua pihak memilih jalan damai semalam.
Satu pertemuan diatur secara empat mata di antara Aida dan Zainudin di sebuah restoran terkenal Sari Kuning semalam. Aida diwakili peguamnya Alamsyah Hanafiah, manakala tokoh agama itu diwakili seorang sahabat rapatnya.
Dalam pertemuan itu, proses damai mereka dimaterikan dengan satu perjanjian bertulis ditandatangani kedua-dua pihak yang berseteru. Terdapat empat perkara tertulis di dalam perjanjian itu, tetapi peguam Aida enggan mengulas.
Sebaliknya beliau berkata, empat perkara yang tertulis dalam perjanjian itu hanya akan diumumkan Aida kerana menurutnya, Aida mahu membuat kejutan!
Alamsyah berkata, satu majlis deklarasi mengumumkan perdamaian itu pula akan diadakan di sebuah hotel dan akan dihadiri oleh Zainudin dan Aida.
Perseteruan Aida dan Zainudin bermula pada 7 Oktober lalu apabila Aida mendakwa Zainudin pernah memperkosanya ketika berusia belasan tahun. Namun dakwaan itu dinafikan Zainudin, sebelum ia berlarutan menjadi konflik yang meluas dilaporkan di dalam media.