Piannggggg!! Tak cukup sekali, tangan ayah singgah lagi. Lepas sebelah kiri, tangan ayah singgah pula tepat ke pipi kanan Bodoi. Piannngggg!!
Muka bujur sireh Bodoi terpaling. Dua tiga jurai air mata Bodoi, terpesong ke bucu matanya yang telah sekian lama lebam tak berdarah. Ayah pun mengunyah sebuah kepuasan. Ditelannya segala kesumat dan marah tidak bertepi. Hanya kerana Baju Melayu, Bodoi menanggung azab lagi.
Lagak dan kelaku ayah memang begitulah. Sejak beberapa tahun ini, hanya kerana mendengar Bodoi meminta sepasang Baju Melayu, ayah cepat benar naik angin. Bagi ayah kerja untuk membelasah tubuh Bodoi yang keding itu bak membasuh lumpur di kaki.
"Dahlah bingung...bodoh...degil pulak tu! Orang kalau tak betul akal...susahh!!" masin celupar dan seranah ayah. Celupar dan seranah itu kemudian bergema menjadi kemarahan yang menendang-nendang seisi ruang rumah.
Ayah memang tidak kenal cara lain untuk mengajar Bodoi. Ayah tidak banyak berguru. Ilmu yang ayah tahu hanyalah pada tangan. Kalau Bodoi masih kurang faham, ayah akan ajar dengan kaki.
Biasanya bila semua itu berakhir, Bodoi akan diam. Cuma yang pasti aku tahu, Bodoi tak pernahnya faham. Bodoi tak pernahnya khatam menanggung seksa azab tangan dan kaki ayah yang kematu itu. Semua itu kerana Bodoi hanya mahukan sepasang Baju Melayu!
Bukan ayah tidak tahu makna sakit setiap kali tangannya singgah ke tubuh Bodoi. Bukan ayah tidak tahu ngerang dan jurai air mata Bodoi setiap kali diajar dengan tangan dan kaki membawa derita yang sayup masuk ke kalbu aku. Ayah tahu, tapi ayah tidak pernah mahu tahu. Bukankah Bodoi itu darah daging ayah juga? Cuma barangkali ayah belum memperolehi ilmu yang cukup untuk memahami sesuatu bernama penyeksaan.
Bohonglah aku kalau ayah tidak nampak betapa sengsara Bodoi mengempang air matanya supaya tidak melimpah ruah. Tapi betul, ayah belum cukup tahu untuk faham dan mengerti.
28 haribulan
Bodoi perasan aku mengintai gerak lakunya dari atas tangga. Sebab itu dia pura-pura menggaru-garu kulit belakang tubuhnya yang keding dan hitam pekat dibakar mentari.
Dari jarak lebih kurang enam meter, aku masih belum rabun. Birat yang melintang di kulit belakangnya masih berbekas. Setiap birat yang masih nampak itu menyimpan makna mendalam dalam hidup Bodoi. Ayahlah si penanda birat dan semua parut serta calar yang ada itu.
Aku cuba-cuba mengumpul kekuatan. Tapi baru selangkah mahu menuruni tangga, derap kasar tapak kaki ayah di atas rumah membunuh segala simpati.
Kuperhatikan Bodoi duduk berlunjur di atas bangku buluh bawah pokok mangga. Bodoi barangkali masih melayan segala impiannya yang tak pernah tercapai sejak beberapa tahun lalu. Hanya sepasang Baju Melayu! Sepasang baju Melayu buat menyambut raya!
Kelopakku terasa membengkak. Bagai ada deru ombak sukar benar kutahan-tahan. Dan akhirnya, benarlah, air mataku pun meluruh.
"Haaa...yang engkau duduk atas tangga tu nak buat apa? Nak pujuk budak tiga suku tuu?" dan aku pantas mengangkat punggung masuk ke rumah. Ayah menjeling dan saat itu sempat kulihat ayah mengambil sehelai baju dari beg plastik yang tergantung.
"Ni..hahh..cuba pakai. Pakai untuk raya. Sembahyang raya kena pakai baju Melayu!" dan kusambut pemberian ayah, sepasang baju Melayu berwarna merah jambu.
Entah kenapa terasa kesat benar tanganku menerima pemberian ayah. Bukan aku tidak ikhlas. Tapi teringatkan Bodoi, hatiku dicucuk sayu....bersambung