nuffnang ads

Wednesday, November 3, 2010

CERITA DULU-DULU: DIRAWAT DOKTOR PALSU

BADAN rasa nak demam. Suhu tubuh meningkat. Kepala pula pening. Front page tak ada lagi. Tapi seperti biasa Allah sentiasa menolong. Sakit yang diberinya ada hikmah.

Pergi ke klinik panel tak sampai sepelaung dari pejabat Berita Harian Bangsar. Bagi kad pengenalan, pembantu klinik yang ramah separuh gedik itu pun suruh duduk. Katanya, ada seorang lagi dalam bilik doktor. Tak sampai 10 minit giliran pun tiba.

Saya masuk bagi salam. Doktor sambut suruh duduk. Wajahnya tenang dan dia tak menunggu lama untuk bertanya.

"Sakit apa?"

"Badan tak berapa nak sedap. Macam nak demam"

Dan proses rawatan pun bermula. Diambilnya bacaan tekanan darah. Kemudian suruh buka mulut. Nak tengok anak tekak saya merah atau tidak. (Tidak pun dia nak tengok lidah saya bercabang atau tidak!) Saya dengar dia baca bismillah sewaktu proses merawat itu. Alhamdulillah, memang itu sepatutnya dilakukan oleh umat Islam dalam apa kerja sekali pun.

10 minit berlalu dan senarai ubat dicatatkan pada kad pesakit. Bila keluar tak sampai lima minit, ubat pun dapat.

Untuk hilangkan resah badan tak berapa nak sihat, saya duduk dengan seorang rakan (sekarang Pengarang Berita di Berita Harian). Kami minum teh tarik bawah pokok ceri sambil bual-bual tentang cerita muka depan.

Tiba-tiba terpandang doktor yang merawat saya sebelumnya. Rupannya dia pun penat melayan pesakit dan duduk dengan rakannya bual-bual sambil minum tidak jauh dari tempat duduk kami. Nak dijadikan cerita, saya tunjukkan doktor itu kepada kawan. Dia menoleh dan memandang lama tak berkelip matanya ke arah doktor yang sedang seronok berbual itu.

"Itu bukan doktorlah. Engkau salah orang. Pelanduk dua serupa tak?" kawan saya tiba-tiba membuka mulutnya.

"Dialah...dialah doktor yang aku jumpa tadi. Aku tak salah orang. Aku ingat lagi baju dan seluar yang dia pakai!" aku bertegas.

"Kau biar betul!" kawan saya menimbulkan satu kecurigaan yang saya tidak faham. "Dia bukan doktorlah...aku kenal dia!"

 Maka bermulalah cerita ini. Kata kawan saya, lelaki itu memang dia kenal sebab dia pernah jadi warden asrama di salah sebuah universiti sebelum ini. Universiti tempat 'doktor' tadi belajar. Saya pun terkejut besar.

 "Dia tu aku kenal sangat. Aku jaga asrama dia masa dulu. Kalau tak silap aku dia kena buang tahun dua!"

 Saya terus terdiam. Tapi untuk berlaku adil kawan saya cadangkan saya telefon pemilik klinik yang membenarkan doktor itu membuat locum. Kata kawan saya, lebih baik saya tanyakan keadaan sebenar.

Sehabis saya minum, saya hubungi pembantu klinik dan minta nombor pemilik klinik itu, seorang doktor bekas pegawai tentera!

Bila dapat bercakap, mak datuk apa kata pemilik doktor itu? Dia kata saya silap orang kot. Lalu saya dapatkan nama dan latar belakang 'doktor' berkenaan. Saya hubungi MMC, saya tanya keahlian doktor itu. Saya hubungi pejabat rekod universiti tempat dia belajar dulu. Hasilnya mengejutkan. Dia sah bukan doktor!

Kemudian saya hubungi semula pemilik klinik berkenaan. Barulah dia tergagap-gagap bercakap apabila saya bacakan sebutir-sebutir tentang lelaki yang diambilnya menjadi doktor di kliniknya itu.

Dia berjanji menyiasat dan akan menghubungi saya. Dia melakukan apa yang dia cakap. Akhirnya dia membenarkan telahan saya dan rakan saya bahawa memang lelaki itu bukan doktor! Pemilik klinik berkenaan rupanya seperti saya juga, terpedaya. 'Doktor' itu rupanya menggunakan salinan ijazah perubatan yang disalin milik orang lain, tetapi dipadam, memasukkan namanya!

Paling melucukan, dalam marah bercampur bengang kerana terpedaya, pemilik klinik itu sempat menyatakan sesuatu: "Bukan you sahaja kena tipu. Bukan saya sahaja kena tipu. Dr Mahathir pun tertipu! Aduh..bikin susah betullah dia ni" dia bersungut.

Saya tanya kenapa pula libatkan Dr Mahathir? Pemilik klinik itu pun menjelaskan perkara sebenarnya. Dia telah menghantar 'doktor' itu bertugas di LIMA Langkawi yang ketika itu menjadi antara projek yang amat diberi perhatian oleh Dr Mahathir. Itu maksud dia. Bukan saya, bukan dia, tapi Perdana Menteri pun terpedaya, gara-gara bijaknya lelaki yang hanya belajar sehingga beberapa semester dalam bidang perubatan mampu melakukan penipuan.

Pemilik klinik itu telah membuat laporan polis berkenaan kes itu. Kisah ini berlaku berbelas tahun lalu. Kisah ini diterbitkan pada muka depan Harian Metro, keesokannya. Namun saya sedih, simpati dan geram. Sedih apabila mendengar cerita dari mulut 'doktor' itu sendiri apabila berjumpa saya dua hari selepas berita mengenainya tersiar. Simpati apabila mengenangkan dia gagal meneruskan pengajian dan menjadi doktor bertauliah. Tetapi geram kerana dia tergamak melakukan penipuan!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10