BILA terdengar ada usaha mahu letakkan nombor 1 dan perkataan BN pada logo Barisan Nasional, saya terus teringat kata-kata arwah bapa mentua saya ketika hayatnya ada berbelas tahun lalu.
Nombor satu akan bawa kesusahan kepada kita, kata arwah. Kalau boleh jangan tulis nombor 1 atau pakai pakaian yang ada nombor 1 pada pakaian engkau!
Saya pernah bertanya, apa maksud kesusahan itu, tapi arwah hanya gelak dan kata ia macam nasib Presiden Sukarno! Nombor 1 kata arwah lagi akan menyebabkan seseorang itu sentiasa tertekan dan akhirnya tewas bukan sebab kalah kepada musuh, tapi kalah kepada diri sendiri!
Arwah bapa mentua saya meninggal pada usia 93 tahun, sewaktu kembali ke tanah airnya di Indonesia beberapa tahun lalu. Dia datang ke Malaysia zaman penjajahan Jepun dan dialah antara kumpulan pekerja pertama yang membersihkan Sungai Klang, di sekitar Puchong yang ketika itu katanya buaya kalau timbul dan melintang boleh dijadikan jambatan menyeberang sungai itu.
Apa-apa pun ini hanya cerita dan pengalaman yang saya pernah lalui. Tentang BN mahu tambah nombor 1 pada logonya itu saya ucapkan syabas dan tengoklah.