PIHAK berkuasa dipercayai sedang berbincang dengan pelbagai pihak termasuk kemungkinan mengambil tindakan mencadangkan supaya konsert Adam Lambert yang akan diadakan pada 14 November ini di stadium Tertutup Bukit Jalil dibatalkan atau ditangguh ke hari lain.
Desakan dan protes yang semakin kuat, terutama daripada parti politik, badan bukan kerajaan, ketua agama dan orang persendirian dikatakan menjadi asas kemungkinan tindakan membatalkan konserta itu terpaksa diambil.
Sumber-sumber berkata, walaupun naib juara American Idol musim kelapan itu ada membuat perjanjian bertulis mematuhi syarat-syarat tertentu ketika mengadakan pertunjukan itu nanti, kerajaan turut tidak mahu memperjudikan sokongan rakyat yang menentang demi kepentingan politik.
Protes terhadap pertunjukkan artis yang secara terbuka mengaku mengamalkan budaya hidup gay itu, juga kata sumber dilihat tidak menguntungkan kerajaan di segi moral dan imej, terutama ketika kerajaan sedang berusaha untuk memperbetulkan hala tuju generasi muda yang semakin terbabas dalam gejala sosial.
Bagamanapun, jika tindakan penangguhan pula dilakukan, penganjur mungkin tidak akan menerimanya kerana mereka telah terikat pada jadual pertunjukan yang ketat selepas ini.
Sebelum ini ketika mengadakan pertunjukan di Singapura, Lambert telah melakukan kesilapan besar apabila mencemar budaya Asia yang menolak keintiman sejenis, dengan bercium mulut dengan seorang gitaris di atas pentas secara terbuka.
Malah ada pihak di Singapura juga melahirkan rasa kesal di atas pertunjukan itu kerana ia jelas mempamerkan sikap kotor dan jijik seorang artis yang tidak berdisiplin.