MENAIKKAN umur persaraan kepada 60 tahun, bukan satu langkah bijak. Namun entah atas alasan apa, itu yang turut diperjuangkan Ceupacs sebelum ini. Macamlah kerja dalam kerajaan itu lubuk ikan.
Bagaimana nanti peluang orang muda yang baru keluar universiti jika kerusi sesuatu jawatan itu terus melekat di punggung warga emas!
Tindakan menolak cadangan itu nampaklah sedikit cerdik. Bayangkan usia 60 tahun. Bayangkanlah kebanyakan orang dalam usia begitu. Ada yang nyanyuk, ada yang pekak kurang pendengaran, ada yang rabun, tak nampak dan ada yang tangan terketar-ketar kerana mengidap sakit tua dan ada pula yang mahu bangun pun berat sangat. Bila bangun pula kepala terasa pening.
Ini bukan sesuatu yang lucu. Bagaimana mahu sesuatu pentadbiran kerajaan itu berjalan laju, lancar dan licin jika ada kakitangan yang telah berusia 58, 59 dan 60 tahun masih diberi tugas untuk berdepan pelanggan dalam keadaan kudrat yang tak berapa mengizinkan.
Mana mahu kita sorokkan muka kalau insiden seperti ini berlaku. Seorang pelanggan datang ke kaunter pejabat kerajaan bertanyakan kepada seorang kakitangan yang telah masuk usia senja. Pelanggan itu memberi salam dan terus bertanyakan: "Encik, borang mana yang nak kena tandantangan pesuruhjaya sumpah?"
Kemudian dijawab petugas hampir 60 tahun itu begini: "Kamu kata saya sesumpah?" Rupanya kakitangan yang telah mempunyai 10 cucu itu kurang pendengaran.
Kemudian datang pula seorang pelanggan lain: "Encik, saya nak borang merah boleh?"
Kakitangan berusia itu pun tersenyum lalu mencapai sekeping borang dan menyerahkannya kepada pelanggan tadi.
Tapi dengan cepat pelanggan itu mengerutkan dahinya. "Ini borang biru encik"
Kakitangan itu pun meminta maaf dan teraba-raba mencari borang berwarna merah. "Maaflah..ya. Saya ni dah rabun, tak berapa nampak warna"
Bayangkan! Ini bukan sindiran, tapi boleh terjadi! Dan terima kasihlah sebab menolak cadangan umur persaraan dinaikkan sehingga 60 tahun.