Siti Balqis Mohd Noor, 22, yang menggemparkan masyarakat dengan cerita-cerita dibawa lari dan disorok jin akan dibantu oleh kerajaan negeri untuk menjalani rawatan psikiatrik dan kaunseling bagi mengatasi masalah yang dihadapinya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kemudahan Awam dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar, berkata Siti dan ibunya boleh pada bila-bila masa menjalani rawatan itu dengan bantuan kerajaan negeri.
Beliau juga berkata, berdasarkan rekod perubatannya, Siti Balqis disahkan seorang pengidap thalassaemia dan kebiasaannya pengidap penyakit itu mudah tertekan dan mengalami ketidakstabilan di segi emosi.
Siti Balqis hilang kali terakhir dari rumahnya Ahad lalu dan menghubungi ibunya, Norizan Said mendakwa dia dilarikan jin ke Gunung Jerai di Kedah.
Bagaimanapun, semua itu hanyalah rekaan semata-mata apabila polis menemuinya di sebuah rumah sahabat penanya di Kuala Klawang Jelebu. Penemuan itu adalah hasil siasatan polis ke atas isyarat penghantaran SMS yang dilakukan Siti menerusi telefon bimbitnya.
Dia dikatakan keluar kira-kira jam 9 malam dari rumahnya dan terus menaiki bas dari Jertih menuju ke Shah Alam sebelum ke Seremban dan mengambil teksi untuk pergi ke rumah sahabat penanya di Kuala Klawang, Jelebu.
Bagaimanapun, menurut Norizan, anaknya itu kini terus berubah sikap menjadi pendiam dan bengis sejak dibawa pulang dari Jelebu. Norizan mendakwa perubahan itu mungkin berpunca daripada gangguan makhluk halus yang dihadapi anaknya selama ini dan laporan media.?????