SITI BALQIS MOHD NOR, 27 yang menarik perhatian banyak pihak kerana sering ghaib waktu senja dan tengah malam, dikatakan pernah menghantar sms kepada ibunya, sebaik sahaja menyedari dia tiba-tiba berada di atas tanah perkuburan kira-kira jam 2 pagi.
Dia dikatakan berada di Tanah Perkuburan Kenak, kira-kira 5 kilometer dari rumahnya di Kampung Gong Nangka, Apal, Besut, sebelum kemudian berpindah pula ke tanah perkuburan Rengas, 10 kilometer dari rumahnya. Kejadian ini berlaku hanya 3 hari sebelum Aidilfitri lalu, tanpa rela, tanpa sedar dan tanpa diketahui puncanya!
Menurut Siti, dia menyedari kejadian itu sekitar jam 2 pagi menerusi jam pada telefon bimbit yang dibawanya. Dia kemudian terus menghantar sms memberi tahu ibu mengenai kedudukannya di tanah perkuburan itu.
Ketika berada di tanah perkuburan itu, Siti mendakwa mendengar pelbagai macam bunyi seperti suara orang menangis, meminta tolong dan membaca al-Quran.
Ibunya, Norizan Said pula, berkata sebaik menerima sms itu, dia, suami dan seorang anak terus ke tanah perkuburan Rengas, tetapi tidak menemui Siti di situ. Kemudian mereka mencari di tanah perkuburan Kenak, dan menemui kesan seperti seperti tinggalan seseorang. Namun Siti tidak ditemui.
Mereka pun pulang ke rumah dan sekitar jam 6 pagi, Siti berada di muka pintu dalam keadaan pakainnya basah dan penuh berlumpur.
Itu adalah antara kejadian pelik menimpa Siti Balqis yang sebelum ini juga pernah ghaib walaupun sekitar rumahnya dijaga oleh lebih 100 orang kampung. Dia pernah ditemui di atas pokok dan paling lucu pernah juga ditemui berada dalam mesin pembancuh simen.
Kalau di Barat, kisah sebegini akan didokumentarikan dan mampu membuat Siti terkenal seantero dunia dan menjadi kaya raya!