RAIKAN 20 TAHUN HARIAN METRO
SELEPAS tiga malam tanpa gangguan, gadis pelik yang menggemparkan banyak pihak kerana sering ghaib ketika senja atau tengah malam, Siti Balqis Mohd Noor, 27, lolos lagi dari kawalan dan pandangan keluarganya awal pagi semalam.
Ibu gadis itu, Norizan Said, 47, berkata ketika dia bangun untuk menunaikan solat subuh, dia melihat Siti masih ada di tempat baringnya, tetapi tidak lama kemudian boleh ghaib begitu sahaja sehingga menyebabkan ahli keluarganya kelam-kabut mencari.
Bagaimanapun, menurut Norizan keluarganya bersyukur kerana selepas dicari, mereka berjaya juga menemui Siti Balqis, tetapi dalam keadaan tidak bermaya, di dalam sebuah almari lama di rumah mereka.
Berikutan masalah dihadapi keluarga Norizan, kerajaan negeri Terengganu telah menawarkan bantuan untuk mencari pakar bagi membantu keluarga itu mengatasi masalah yang menimpa Siti Balqis sejak sekian lama.
Siti Balqis sebelum ini pernah beberapa kali ghaib walaupun ketika kawasan rumahnya dikawal oleh penduduk. Dia kemudian ditemui di beberapa lokasi yang pelik, seperti di atas pokok, di dalam mesin pembancuh simen dan di atas tanah perkuburan.