LETUSAN Gunung Merapi membuka dua cerita. Satu cerita mengenai keajaiban Tuhan dan satu lagi yang kurang enak untuk didengar.
Dua cerita itu terbongkar apabila bekas pembantu Mbah Maridjan, Ponimin, menjadi tumpuan ramai termasuk pembesar Gusti Kanjeng Ratu (GKR) Hemas, apabila dia terselamat bersama keluarganya dalam tragedi itu walaupun rumahnya ranap dan musnah akibat disambar debu dan bahang gunung berapi.
Cerita pertama tentang keajaiban. Ketika semua pemilik rumah yang disambar debu dan bahang volkanik, menjadi korban, Ponimin, isterinya Yati dan 5 anak mereka tidak mengalami kecederaan. Menurut Ponimin dan isterinya, ketika bahang menyambar rumah mereka, mereka hanya berlindung di bilik sambil memegang bantal dan sejadah.
Kemudian, mereka meredah debu dan bahang menggunakan bantal dan sejadah yang dipegang sebagai kubu, untuk pergi ke tempat perlindungan. Ponimin hanya luka sedikit di tapak kakinya, manakala yang lain tidak cedera.
Apa yang berlaku ke atas keluarga Ponimin ini amat menghairankan penduduk dan pembesar yang datang, malah bantal dan sejadah yang mereka bawa juga ditawarkan seseorang untuk dibeli dengan harga 40 juta Rupiah, tetapi mereka tidak menjualnya.
Berikutan itu, GKR hari ini mengumumkan bahawa Ponimin dilantik sebagai Jurukunci Gunung Merapi menggantikan allahyarham Mbah Maridjan. Kini keluarga itu tinggal bersama Dr Anna Ratih Wardhani di Ngempak.
Cerita kedua yang kurang enak ialah, aduan daripada Ponimin tentang rahsia dia berhenti kerja sebagai pembantu kepada Jurukunci, Mbah Maridjan. Katanya, mereka sebenarnya telah lama tidak bertegur sapa, selepas dia mendakwa Mbah Maridjan menipunya dalam kontrak iklan di televisyen.
Menurut Ponimin, pada awalnya Mbah Maridjan berjanji akan bersamanya dalam iklan minuman kesihatan yang ditawarkan, tetapi pada peringkat akhir Mbah Maridjan telah belot dan melupakan dirinya. Berikutan itu dia berasa kecil hati dan membawa diri lalu berhenti bekerja dengan Mbah Maridjan.
Malah satu perkara yang kurang enak didengar dari cerita Ponimin ialah, malam sebelum Gunung Merapi meletus dia didatangi lembaga ghaib yang memberitahu rumah Mbah Maridjan akan disembur debu gunung itu, mengakibatkan sesiapa berlindung di dalamnya tidak akan selamat.
MasyaAllah!