SIASATAN awal kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas ekspress Delima yang mengorbankan 12 nyawa di kilometer 223 Lebuhraya Plus tidak jauh dari tol Simpang Ampat, Rembau malam tadi, berpunca daripada sikap pemandu yang dikatakan membawa bas itu melebihi had laju.
Sumber-sumber berkata, rumusan itu diperolehi berdasarkan kenyataan beberapa penumpang yang terselamat dan berdasarkan kesan di tempat kemalangan.
Bagaimanapun, polis belum memuktamadkan kesimpulan mereka kerana siasatan masih dijalankan lagi bagi menentukan punca kejadian.
Bas ekspress berkenaan yang dalam perjalanan dari Melaka, dikatakan terbabas, melanggar penghadang jalan sebelum masuk ke laluan lebuhraya bertentangan dan merempuh beberapa kenderaan lain. Ia kemudian melanggar sisi tepi sebuah bas milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum terbabas.
Beberapa penumpang maut dan bergelimpangan di tengah lebuh raya manakala sesetengah yang lain terpaksa dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat kerana tersepit di dalam bas yang remuk itu.