Malah cerita berkaitan kelibat perempuan muda itu juga pernah diceritakan seorang pemandu tangki membawa petroliam yang pulang dari Melaka ke Port Dickson.
Cerita seram wanita bergaun putih itu bukan sahaja dilihat mengendong anak, tetapi sebelah tangannya menjinjit sesuatu seperti kepala orang dan melintas dengan selamba lebuh raya itu.
Pemandu lori tangki minyak, Ismail Sulong, mendakwa kejadian itu berlaku hujung tahun lalu ketika senja. Waktu itu katanya, dia berada di lorong tengah daripada tiga lorong yang disediakan apabila terpandang dalam suram senja ada seorang wanita melintas walaupun berkali-kali dia membunyikan hon.
Menurut Ismail, dia terpaksa membrek kuat apabila lori yang dipandunya semakin menghampiri kelibat wanita berkenaan, menyebabkan sebuah kereta yang mengekorinya di belakang gagal mengelak dan melanggar bahagian belakang lori tangkinya itu.
Ismail yang kini mengerjakan haji di Mekah, berceritakan hal itu kira-kira dua bulan lalu. Menurutnya, dia bersyukur berjaya mengawal lori tangkinya dan kenderaan di belakang dipercayai dipandu seorang ahli perniagaan dari Singapura tidak mengalami kerosakan serius.
"Saya turun dari lori. Perkara pertama saya buat ialah memerhatikan kelibat wanita itu. Saya pelik sangat sebab tiada sesiapa di situ. Kelibat wanita itu hilang begitu pantas. Pemandu kereta BMW keturunan Cina pula tercengang-cengang apabila saya kata, ada seorang wanita melintas menyebabkan saya terpaksa membrek mengejut," cerita Ismail kepada saya.
Berdasarkan cerita dalam Kosmo pula, seorang pemandu mendakwa melihat wanita berpakaian putih mengendong anak.
Cerita itu hampir sama dengan dakwaan Ismail, kecuali dia melihat sendiri sebelah tangan wanita itu menjinjing sesuatu berwarna hitam seperti kepala orang yang berambut lebat.
![]() |
| Di kawasan inilah juga Ismail melihat wanita mengendong anak sambil menjinjing kepala orang (gambar Kosmo) |
