BANYAK cerita akan terbuka di dalam mahkamah apabila kes pembunuhan Datuk Sosilawati mula diadili. Banyak yang kita tidak tahu, tetapi polis telah tahu. Begitu juga banyak yang kita andaikan, tidak semua sentiasa betul.
Barangkali meriah juga kalau kita tanyakan banyak soalan yang di luar pengetahuan kita selama ini. Sama-sama renungkan:
1.Anak Sosilawati mengesan sms 'pelik'. Apa maksud pelik di sini. Apakah kerana bahasa mesej itu lari daripada mesej yang biasanya ditulis dan dihantar oleh Sosilawati sendiri? Jika ya, adakah mesej itu ditulis oleh suspek? Atau bagaimanakah latar belakang pendidikan pekerja-pekerjanya yang turut ditahan? Adakah mereka boleh menulis mesej di dalam bahasa Malaysia atau Inggeris?
2.Mungkinkah ada cctv yang berjaya mengesan ketika kereta dihantar ke Subang Jaya. Mungkinkah cctv di plaza tol Kesas atau Lebuhraya Persekutuan mampu merakam pergerakan kereta itu sekaligus dapat mengecam wajah siapa yang memandu kereta itu ke lokasi kereta ditinggalkan?
3.Apakah barangan lain yang ditemui di dalam kereta Sosilawati dan Ahmad Kamil? Apakah polis berjaya menemui cap jari pada stereng atau pembuka pintu kereta berkenaan?
4.Adakah makanan kering seperti kerepek yang dibeli oleh Sosilawati masih ada di dalam kereta? Jika tiada, adakah kemungkinan ia diambil dan dimakan oleh pembunuhnya? Mungkinkah kalau ini berlaku, bungkusan plastik kerepek itu ditemui di kuarters pekerja Ladang Gadong? Jika plastik itu ditenui, mungkinkah ada kesan cap jari pada plastik berkenaan?
5.Kesan puntung rokok juga kadang-kala dijadikan bahan bukti? Apakah dalam kes ini ada penemuan puntung rokok di dalam atau berhampiran kereta yang ditinggalkan.
6.Apakah ada kenderaan lain digunakan oleh pembunuh untuk membuang bukti ke sungai yang jaraknya di luar dari Ladang Gadong?
7.Apakah kandungan mesej atau nombor telefon menarik yang memberi klu penting dijumpai pada telefon bimbit peguam yang disyaki? Atau adakah kemungkinan dia menukar telefon baru selepas kejadian?
8.Apakah isteri-isteri suspek memberi keterangan yang membantu siasatan? Mungkinkah isteri-isteri suspek tahu dengan siapa suami masing-masing berurusan pada saat akhir sebelum pembunuhan Sosilawati? Atau isteri masing-masing ada dimaklumkan oleh suami masing-masing tentang sesuatu yang tidak kita tahu?
9.Mungkinkah ada cerita menarik yang tidak kita ketahui yang telah diceritakan oleh pekerja-pekerja suspek kepada pihak berkuasa?
10.Kalau tak sangkut satu kes, mungkinkah kes lain akan mengait sehingga suspek akhirnya kalah di muka pengadilan?