BELUM sampai 48 jam dunia menyaksikan usaha menyelamat 33 pekerja lombong arang batu yang terperangkap lebih sebulan di sebuah lombong di Chile, satu lagi bencana membabitkan lombong arang batu berlaku hari ini.
Jam 6 pagi waktu tempatan, sebuah lombong arang batu di bahagian tengah China meletup dan sehingga kini dilaporkan telah membunuh 20 orang dan memerangkap 17 yang lain.
Laporan China Central Television pula melaporkan, kemungkinan 30 terbunuh dalam letupan lombong yang didengari lebih satu kilometer itu.
Laporan Xinhua News Agency pula dipetik berkata, lombong berkenaan milik sebuah syarikat dikenali sebagai Pingyu Coal & Electric.
Di Ecuador, tragedi yang sama turut berlaku apabila empat terbunuh apabila sebuah lombong arang batu runtuh, hari ini.
Kejadian runtuhan itu dikatakan berpunca daripada genangan air yang telah melemahkan kekuatan dinding lombong. Usaha menyelamat sedang dilakukan pihak berkuasa Ecuador.