SITI Balqis Md Noor, 27, yang sering diganggu jin dan makhluk halus dikatakan telah lebih 100 kali ghaib dari rumahnya sebelum ditemui di merata tempat, seperti di atas pokok, di atas tanah perkuburan, di dalam mesin pembancuh simen dan di tepi hutan.
Setiap kali sedar selepas dia dighaibkan, Siti Balqis mendakwa dia pasti ternampak satu kelibat dan lembaga hitam berbulu sebesar gorila. Apabila ditegur, diajak berbual atau diberi salam, lembaga besar itu hanya mendiamkan diri.
Satu keadaan yang pasti, setiap kali selepas tersedar, fizikal Siti Balqis amat tidak bermaya. Dia seperti keletihan dan wajahnya pucat dan lesi.
Tentang gorila besar yang sering dilihatnya setiap kali tersedar, Siti berkata lembaga yang sama jugalah yang sering mengusung atau mengendongnya ke luar dari rumah walaupun dalam keadaan rumah itu djaga oleh ahli keluarganya.
Kelicikan lembaga hitam sebesar gorila itu 'menculik' Siti Balqis untuk dighaibkan dari pandangan ahli keluarganya sering mencetuskan masalah. Ia amat mengganggu Siti dan ibu bapanya yang terpaksa mencari pelbagai ikhtiar mengatasi masalah itu.
Dua bomoh pada peringkat awal telah berjaya menangkap 9 jin dan dibotolkan. Selang sehari Siti dighaibkan lagi dan dijumpai tersangkut di antara dahan pokok rambutan hanya kira-kira 200 meter dari rumahnya.
Berikutan itu, tiga pengamal perubatan Islam dari Yayasan Islam Terengganu (YIT) secara sukarela membantu keluarga berkenaan dan berjaya menangkap 12 lagi jin yang dikatakan mengganggu. Terkini, Siti dan keluarganya 'aman' sedikit dari gangguan.
Namun ada pihak percaya, ada lagi jin yang terlepas dan sedang menunggu masa untuk mengendong Siti untuk dibawa bersiar-siar!