IBU seorang remaja perempuan, Nur Farlihin Yahya, 20, yang menghilangkan diri sejak tujuh bulan lalu, bimbang anaknya itu dilarikan pihak tertentu untuk dilacurkan atau dijadikan keldai membawa dadah di negara luar.
Zaiton Din, 53, yang risau dengan kemungkinan itu mendakwa anaknya ada menghubunginya baru-baru ini selepas lebih tujuh bulan menghilangkan diri. Katanya, Nur Farlihin ketika itu dikesan menggunakan nombor talian antarabangsa 66883878343, iaitu talian dari negara Thailand.
Katanya, ketika sempat menghubunginya, Farlihin ada memaklumkan dia dalam keadaan sihat dan meminta keluarganya jangan bimbang. Malah dia juga meminta maaf di atas kesalahan yang dilakukannya.
Bagaimanapun, Zaiton semakin risau kerana ketika bercakap, Farlihin seperti berada dalam keadaan ketakutan.
