SERAMAI 250 penumpang sebuah pesawat Qatar Airways dalam penerbangan dari Manila ke Doha tidak menyedari juruterbang pesawat itu meninggal dunia dalam penerbangan, sehingga memaksa pembantunya mengambilalih dan memohon pendaratan cemas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur di Sepang, kira-kira jam 11.40 pagi tadi.
Juruterbang pesawat warga India berusia 43 tahun itu, dikatakan telah mengadu sakit dada kepada pembantunya ketika di peringkat awal penerbangan lagi.
Berikutan itu pembantunya memohon kebenaran pihak berkuasa di Sepang untuk mendarat cemas bagi membantu juruterbang berkenaan. Bagaimanapun, sebaik mendarat pasukan perubatan mendapati dia telahpun meninggal dunia.
Krew pesawat jenis A330 Airbus itu kemudian dirombak dan dibenarkan berlepas semula pada jam 1.15 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayub, berkata mayat juruterbang itu dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Hasil bedah siasat mendapati dia meninggal dunia kerana sakit jantung.