ADA pihak berpendapat gangguan jin telah menyebabkan enam pelajar wanita Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik di Kuala Terengganu diserang histeria pagi tadi. Sesetengah pihak yang lain pula mendakwa kejadian itu ada kaitan dengan tekanan ekoran peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang semakin hampir.
Namun apa pun telahan orang, kejadian histeria bukan perkara asing lagi dalam masyarakat Melayu khususnya. Dalam kejadian pagi tadi, enam pelajar perempuan, terdiri lima pelajar tingkatan lima dan seorang pelajar tingkatan dua kerasukan secara tiba-tiba ketika berbaris di majlis perhimpunan pagi di sekolah itu.
Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Razali Daud, berkata pihaknya terpaksa meminta bantuan daripada sekumpulan ustaz dari Darul Syifa untuk membantu merawat pelajar yang terbabit, manakala kumpulan guru pula mengadakan bacaan surah Yassin.
Difahamkan, pelajar tingkatan dua yang diserang histeria pagi tadi, pernah diserang kejadian sama Khamis lalu bersama seorang lagi rakannya. Mereka bagaimanapun dibenarkan pulang dan dikatakan telah pulih.
Bagaimanapun, pagi ini seorang daripada pelajar tingkatan dua itu diserang histeria semula sebelum ia merebak kepada lima pelajar tingkatan lima.