SAMA ADA permohonan maaf kamu akan diterima, itu tidak penting. Yang kamu perlu faham ialah tujuh nyawa telah terkorban.
Kamu kata kamu kesal dengan apa yang berlaku, terutama kerana kamu tidak memiliki lesen. Soalan pertama ialah kalaulah kamu tidak berdepan kemalangan ini, adakah kamu menyesal untuk membawa bas pada masa depan sedangkan hakikatnya kamu tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Kamu kata kamu telah beritahu kepada pemilik bas yang kamu tidak ada lesen untuk memandu dan kamu juga tahu bas itu menghadapi masalah brek. Kenapa kamu terima tugas itu? Ini menunjukkan kamu tidak pernah meletakkan nyawa orang lain sebagai paling utama dalam tugas kamu.
Kamu kata kamu dulu pernah memiliki lesen tetapi lesen terbang? Kenapa sebodoh itu kamu lakukan. Tidak susah untuk mendapat lesen di negara ini jika kamu ada niat dan hasrat untuk memilikinya. Tidak ada masalah dalam sebarang ujian atau ceramah yang perlu kamu duduki. Ujian undang-undang berkomputer? Kenapa? Kamu tidak faham Bahasa Malaysia? Itulah ruginya kalau rakyat Malaysia tidak mahu belajar bahasa Malaysia, sedangkan masing-masing mengaku anak Malaysia!
Kamu telah memohon maaf dan mengaku melakukan kesalahan dan kamu pun faham nyawa tidak akan kembali lagi. Kamu mesti bersedia menerima hakikat untuk berasa bersalah sepanjang hayat kerana kesalahan itu kamu lakukan dengan sedar. Kamu mesti terganggu oleh tangis waris-waris penumpang yang telah meninggal dunia. Kamu pasti berhadapan semua ini dan itu hanya sedikit daripada pembalasan di atas kesalahan kamu.
Bagaimanapun, terima kasih juga sebab kamu berani memohon maaf secara terbuka. Terpulang kepada waris mereka yang kembali ke negeri asal. Dan kamu juga mesti faham permohonan maaf tidak akan melupuskan hasrat waris mangsa untuk mengambil tindakan undang-undang.
Dan terimalah hakikat yang bersalah pasti menerima hukuman. Itu sepatutnya lebih beruntung, berbanding mereka yang telah kehilangan insan yang tersayang gara-gara perbuatan kamu.