nuffnang ads

Tuesday, October 19, 2010

JANGAN GHAIRAH NAK TUKAR KERAJAAN, KATA TUN MAHATHIR: TUN BACALAH SEKETIKA TULISAN INI

RAKYAT Malaysia tak boleh rasa ghairah. Nanti susah!

Kata Tun Mahathir jangan ghairah sangat nak tukar kerajaan. Maknanya, Mahathir berharap sangat rakyat negara ini jangan jadi manusia yang ada niat untuk berubah. Mahathir fikir, tanpa berubah orang Melayu khasnya akan jadi bangsa yang bermartabat dan makin bermaruah.

Katanya, banyak perkara yang tidak mampu diubah! Tambahnya jangan fikir dengan menukar kerajaan melalui perubahan rejim, banyak perkara akan berubah sedangkan ia tidak akan berlaku.

Nah... demikian cara pemikiran seorang negarawan? Apakah Tun tidak terfikir bahawa semua benda boleh diubah, sebab yang memegang kuasa dalam dunia ini bukan manusia, tetapi Allah. Kalau kita ada niat yang baik untuk berubah menjadi lebih baik, memang belum tentu kita boleh mencapainya. Tapi tidak mustahil kita akan memperolehinya.

Hidup selama 53 tahun selepas merdeka, amat dirasai terlalu perit dan payah! Mungkin Tun tidak masuk sepenuhnya ke dalam jiwa kebanyakan orang Melayu selepas hidup di bawah pentadbiran Umno selama 53 tahun. Mungkin Tun hanya melihat pada senyum orang Melayu, tapi tidak melihat dukacita dan tangis yang sarat dalam jiwa orang Melayu. Mungkin masuk entah berapa keturunan, orang Melayu amat seksa menanggung sarat derita hidup di tanah air sendiri, tetapi menjadi hamba di segenap sisi!


Apa salahnya orang Melayu atau rakyat mahu berubah dan mengubah tampuk kepimpinan negara? Sekurang-kurangnya kami masih ada satu lagi ruang untukk menaruh harapan! Lainlah kalau dalam keadaan Tun anak beranak dan saudara mara yang telah banyak duit. Perubahan mungkin tidak perlu. Tapi bagi kami anak Melayu yang merempat di tepi gelanggang ekonomi yang sedang rancak dimainkan oleh bangsa asing, berasa perlunya satu perubahan mendadak. Telah 53 tahun Tun! Bukan 53 bulan. Apa yang pemimpin Melayu buat dan bina untuk kami kecuali mendirikan menara tinggi-tinggi dari air liur, yang kemudian menjadi pusara sebelum bertukar lelucon dan jenaka orang!

Di mana penguasaan anak Melayu dalam ekonomi negara? Kalau ada pun bohong, itu bukan anak Melayu tapi anak Umno yang dikronikan.

Tun tentu tidak pernah memahami atau terfikir, saat Tun sedang menikmati makanan lazat-lazat sekarang bersama anak-anak, kami anak Melayu di pinggir hutan ini masih makan ikan bilis dan ikan kering. Inilah nasib kami anak Melayu yang kemudian sering diingat jangan ghairah menukar kerajaan. Selepas 53 tahun, dalam keadaan keluarga kami masih merempat mestikah kami diam wahai Tun yang bestari dan cerdik?

Kami anak Melayu sejak keturunan nenek moyang dulu memang berharap Umno akan meletakkan bangsa Melayu di pundak martabat yang amat dikagumi bangsa lain. Terutama di dalam bidang ekonomi kerana kami tahu kekuatan politik Melayu bergantung pada kekuatan Melayu dalam bidang ekonomi. Tapi apalah yang ada kini pada kami anak Melayu, wahai Tun yang amat-amat bijaksana bercakap?

Orang politik memang senang bercakap. Dulu bapa dia Perdana Menteri, kemudian anak dapat jadi Perdana Menteri. Dulu bapa dia perdana menteri, anak dapat jadi menteri. Bercakap dan berkempen memang mudah Tun. Tapi bahu yang memikul dan hati yang menyimpan derita, siapa peduli! Seluruh keluarga kumpulan pemimpin termasuk Tun sendiri telah lama tidak menyelami kesusahan anak Melayu sebab mereka telah lega berada dalam zon kesenangan yang diberikan oleh ORANG MELAYU selama ini. Mereka dan keluarga mereka bersama kawan-kawan mereka telah menguasai politik dan ekonomi negara sehingga mengabaikan kami anak-anak Melayu.

Kini bila berdepan sedikit kesulitan untuk meneruskan kesinambungan kuasa, kami anak Melayu yang bangsat-bangsat ini juga disindir, dirayu untuk membuat keputusan tidak mengubah kerajaan. Apa maknanya kami ini kalau diperlukan macam barang terbuang. Kalau ada harga barulah dikitar semula. Selama bila kami anak penoreh getah dan nelayan serta petani mesti mewarisi kemiskinan dan kemelaratan ini, Tun? Selama bila kami ditindas dan dibiar tidak terbela. Saya sedia menunjukkan Tun di mana sebahagian  kemelaratan orang Melayu, jika Tun tidak mahu mempercayai kata-kata yang ikhlas ini.

Tun harus sedar dan insaf bahawa berani saya katakan, kalau ada undi secara terbuka kepada rakyat berusia 18 tahun ke atas diberi kepada semua rakyat Malaysia untuk memilih mereka yang memimpin negara, habis semua pemimpin politik Umno tidak akan duduk di tempat mereka sekarang! Orang sudah meluat dan bosan Tun. Bukan sebab janji pembangkang atau pujuk rayu pembangkang. Ini semua datang dari dalam atma kami yang telah lama menderita. Pembangkang tidak pernah memaksa atau masuk ke dalam jiwa kami untuk melihat satu perubahan dalam kepemimpinan negara. Tidak Tun! Kami telah dewasa dan boleh berfikir. Perubahan memang amat kami perlukan kerana ia datang dari dalam sanubari kami, demi risau nasib anak cucu kami di bawah pemerintahan yang masih sebegini!

Tolonglah Tuhan! Bukankanlah mata pemimpin Melayu dalam Umno tentang kemelaratan anak Melayu hari ini. Tolonglah Tuhan kerana Engkau Maha mengetahui betapa seksanya kami hidup merempat di tanah sendiri, mengikut acuan dan perancangan pemimpin sejak dulu, tetapi masih tidak menjadi! Malah meminggirkan kami anak Melayu sehingga maruah dan darjatnya terletak di bawah sepatu!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10