KETIKA banyak pihak menyangka skandal seks Presiden MCA, Chua Soi Lek telah dilupakan, tanggapan itu sebenarnya silap. Mesyuarat agung Wanita MCA siang tadi, bagai membuka tudung saji yang menutup bangkai sekian lama tak terhidu. Melantung!
Perwakilan Pahang, Khiew Yuh Jihuan, membuka isu itu dengan mendakwa ramai ahli parti MCA sebenarnya terpaksa menanggung malu kerana mempunyai presiden yang pernah menghadapi masalah moral, menyebabkan dewan di Berjaya Times Square bergempita.
Menurut Jihuan, banyak pihak luar memandang sinis dan kadang kala memerli sejarah buruk Chua ketika mereka berusaha untuk menarik balik sokongan kaum Cina kepada Barisan Nasional.
Keadaan itu katanya, menyebabkan kebanyakan pemimpin bawahan MCA terpaksa mendiamkan diri kerana berdepan satu situasi yang amat sulit dan memalukan.
Jika perwakilan MCA sendiri membuka isu ini, maka jelaslah kepada kita bahawa bangkai skandal seks Chua akan terus terhidu baunya dan tidak mustahil ramai peringkat akar umbi dan masyarakat biasa tidak akan pergi ke arah bau yang busuk itu. Dan tentunya ini akan terus menjadi satu masalah yang akan dipikul secara tidak langsung oleh Barisan Nasional menjelang pilihanraya depan!