RAIKAN 20 TAHUN HARIAN METRO
DUA kali dia mencederakan anggota polis yang mahu menangkapnya. Kali pertama, dua minggu lalu. Dia menyerang polis sebelum berjaya lolos dan menghilangkan diri.
Semalam, kira-kira jam 6.45 petang, lelaki berusia 30-an dari Kampung Lebak, Temerloh itu cuba juga menunjukkan jantannya. Apabila rumahnya dikepung, dia bertindak melepaskan diri sambil membawa parang ke arah kawasan berpaya.
Apabila polis menghambatnya, berlaku satu pergelutan. Seorang inspektor polis cedera di pergelangan tangan dan dahi dalam usaha menangkapnya. Namun lelaki itu tewas dan dapat diberkas.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nor Mansor, mengesahkan kejadian dan berkata inspektor berkenaan mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Temerloh.
Menurutnya, polis turut menemui 15 gram syabu daripada lelaki yang disahkan positif dadah itu.