AYAH PIN muncul lagi. Wakil Berita Harian sempat menyelinap mendapatkan maklumat terbaru mengenai lelaki tua itu di perkampungan ajarannnya yang telah diharamkan, di Kampung Batu 13, dua hari lalu.
Kata ayah Pin, dia baru balik daripada mesyuarat di langit. Mesyuarat dengan malaikat, jin dan iblis! Dalam ceritanya pada Isnin lalu, ayah Pin mendakwa dia pergi ke langit aras tujuh untuk meninjau keadaan neraka dan syurga. Dan selepas bermesyuarat dengan malaikat, iblis dan jin, dia turun semula ke bumi. Turut turun katanya ialah jin dan iblis, manakala malaikat pula kekal duduk di langit.
Menerusi mesyuarat itu kata ayah Pin, dia dilantik sebagai wakil kerajaan langit untuk memantau keadaan di atas dunia dan ditugaskan supaya memastikan dunia sentiasa selamat terutama sesama manusia yang berlainan agama.
Ketika ditemui Isnin lalu, ayah Pin haya berseluar pendek dan bersinglet putih. Dia yang berusia 70 tahun kelihatan sedikit lemah kerana mendakwa mengidap penyakit kencing manis! Beberapa pengikutnya dipercayai peguam dan ahli korporat turut menemuinya di sebuah warung di perkampungan ajarannya itu. Mereka menyembah tiga kali ketika bertemu dan kemudian mencium tangan ayah Pin.
Ayah Pin seperti dilaporkan Berita Harian turut memberitahu pihak berkuasa jika ingin menahannya boleh melakukannya bila-bila masa kerana dia berada di perkampungan itu dan tidak melarikan diri.
Ajaran ayah Pin telah diharamkan pada 2005 dan pihak berkuasa mengambil tindakan meroboh beberapa binaan yang dibina di dalam perkampungan itu termasuk Bahtera Nabi Noh, Telaga Zam-Zam dan Kendi Gergasi.
Malah isteri dan beberapa pengikutnya juga telah ditahan tetapi ayah Pin berjaya melarikan diri.