nuffnang ads

Friday, October 29, 2010

CERITA DULU-DULU: KISAH KHALWAT PEGAWAI TENTERA DAN PEGAWAI POLIS

SI LELAKI, bertugas sebagai pegawai tentera berpangkat mejar. Si perempuan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor. Lokasinya di sebuah taman rekreasi di Kuala Lumpur, sekitar 17 tahun lalu.

Sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diketuai Ustaz Kadir Che Kob (allahyarham) menjalankan operasi mencegah maksiat kira-kira jam 10 malam.

Selepas merata merayau dan memerhatikan kawasan sekitar, mereka ternampak sebuah kereta diletakkan di dalam gelap di tepi tasik. Pasukan penguatkuasa pun menghampiri kereta berkenaan memeriksa kalau-kalau ada pasangan berkhalwat.

Ada! Terus sahaja mereka meminta pasangan beragama Islam itu menunjukkan kad pengenalan. Nah! Kedua-duanya rupanya pegawai pasukan beruniform. Lelaki dari tentera, perempuannya dari polis. Itu tak penting. Hal-hal berkaitan maksiat bukan pelik kalau berlaku di kalangan mereka kerana mereka juga manusia, sama seperti manusia lain.

Dipendekkan cerita, ustaz Kadir pun mula mencatatkan nama masing-masing, sebelum si lelaki dengan suara terputus-putus menyatakan sesuatu.

"Ustaz...tak bolehkah kalau diselesaikan. Kita bincang dari hati ke hati. Kita orang pun kat sini bincang fasal rumahtangga. Tak buat apa pun," rayu si pegawai tentera. Si perempuan pula hanya tertunduk di dalam kereta, apatah lagi ketika itu mereka menyedari kehadiran wartawan dan jurugambar.

"Tolonglah ustaz..kita bincang dari hati ke hati," rayu si lelaki lagi. Si perempuan hanya terdiam, cuma sekali meminta kalau boleh tidak sampai kes itu diperpanjangkan kerana bimbang kerjayanya terjejas.

Ustaz Kadir kemudian terdengar bertanya si lelaki. "Bincang hati ke hati macam mana tu?"

"Ala...ustaz..kita bincang dari hati ke hati...dari hati ke hati.." katanya lagi.

"Yalah...ini kita bincang dari hati ke hatilah ni" jawap ustaz Kadir yang ketika itu berjawatan Ketua Penguatkuasa Jawi. "Nak bincang hati ke hati macam mana lagi?"

 "Bukan ustaz...kita bincang hati ke hati" dan apabila perkataan yang sama terus berulang, nampak wajah beberapa penguatkuasa yang lain macam mahu tersenyum. Yalah...pelik asyik dengar perkataan itu sahaja.

 Akhirnya kerana terlalu lama asyik tercegat berbalas cakap hati ke hati, ustaz Kadir pun meminta pasangan itu datang ke pejabat penguatkuasa di Jaan Ipoh untuk diambil keterangan.

 Ketika itu terdengar lagi si lelaki masih merayu. Namun perkataan yang sama terucap juga. "Ustaz...nanti kita bincang hati ke hati ya" rayunya. Apabila tiba di pejabat penguatkuasa, ustaz Kadir pun terdengar mempelawa pegawai tentera itu masuk ke biliknya.

 "Marilah masuk. Kita bincang hati ke hati" dan saat itu saya nampak ada senyum di muka ustaz Kadir. Hanya dia sahaja yang tahu apa maksud senyumnya itu.

 Demikian, dalam kebanyakan kes tangkapan khalwat banyak rayuan akan kedengaran. Namun perkataan yang masih segar dalam ingatan saya ialah bincang hati ke hati!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10