SEBONGKAH 'batu terbang' dipercayai seberat 500 gram dilontarkan seorang penonton ke kawasan padang pada minit ke 29, sebentar tadi menyebabkan permainan suku akhir kedua Piala Malaysia di antara Negeri Sembilan dan Perlis, di Stadium Indera Kayangan Perlis, terpaksa dihentikan selama 10 minit.
Pengadil terpaksa berbincang dengan pegawai keselamatan bagi memastikan insiden itu tidak berulang dan boleh mengancam keselamatan pemain. Ketika kejadian, Negeri Sembilan sedang mendahului 1-0.
'Batu terbang' seperti diistilahkan oleh Jasni Shafie itu hampir sahaja terkena penjaga garisan dan seorang pemain dan jika terkena sudah pasti mendatangkan kecederaan bukan kepalang. Batu itu dipercayai dilontar dari kawasan penonton Perlis.
Nampaknya semangat kesukanan semakin hilang di kalangan penonton bola sepak negara ini. Insiden ini pasti mengingatkan kita pada kekecohan yang tercetus di antara penyokong Selangor dan Kelantan di Stadium Shah Alam, dua hari lalu.
Ketika catatan ini ditulis, Negeri Sembilan sedang mendahului 2-0 menerusi gol yang kedua-duanya diperolehi menerusi Abdul Halim Zainol. Secara agreget, pasukan Hoben Jang Hoben mendahului 3-0 selepas menang perlawanan pertama 1-0 di Seremban kelmarin.