TUN MAHATHIR dalam blognya menulis, masalah perkauman berlaku kerana berpunca daripada Singapura. Sorry sir, you are wrong! Totally wrong.
Sebenarnya masalah itu berlaku kerana UMNO dan pemimpin UMNO yang diberi peluang mentadbir negara sejak 1957 telah gagal melaksanakan tugasnya membantu orang Melayu. Jika dalam tempoh 53 tahun itu, kedudukan ekonomi orang Melayu berjaya dipertingkatkan, atau berjaya meletakkan mereka bangsa yang memegang kuasa ekonomi di dalam negara, masalah perkauman tidak mungkin seperti sekarang.
Dengan penguasaan ekonomi dalam negara, Melayu sebagai bangsa majoriti tentu menjadi sebuah bangsa yang kuat di segi kuasa politiknya. Tapi sayang, selepas 53 tahun (bukan 53 bulan!) penguasaan ekonomi orang Melayu semakin menipis dan ini sekaligus menghakis kekuatan kuasa politiknya.
Apabila kuasa politik semakin tidak kuat oleh sebab kelemahan kuasa ekonominya, bangsa Melayu tidak dilihat sebagai bangsa yang berwibawa dan bermaruah. Maka tidak hairanlah, bangsa lain semakin hilang hormat terhadap bangsa Melayu. Tidak hairanlah bangsa lain sanggup menjadikan lagu negaraku dan nama Allah sebagai bahan senda. Ini bukti telah mekarnya rasa hilang hormat mereka terhadap sebuah bangsa yang sepatutnya dominan di tanah air sendiri. Dan mereka tidak boleh dipersalahkan pada hari ini. Ini kerana bagaimana kita mahu mereka menghormati atau mendengar cakap kita, jika kita hanyalah bangsa yang mempunyai sejemput kuasa politik dan secebis kuasa ekonomi.
Saya juga tidak bersetuju disalahkan rakyat terutama orang Melayu dalam segala hal melibatkan kekurangan dan kelemahan sekarang kerana fungsi dan tanggungjawab pemimpin UMNO dan Melayulah yang lebih banyak menentukan sama ada orang Melayu berjaya atau tidak sehingga kini.
Masalah perkauman hanya tercetus apabila bangsa lain berasa semakin berani. Bangsa lain semakin berani kerana tahu, orang Melayu tidak punya apa-apa di negara ini, terutama dalam bidang ekonomi yang menjadi penentu sesuatu kaum itu kuat atau sebaliknya! Sorry sir. You are totally wrong.
Mohon maaf Tun, bukan Singapura penyebab utama, tetapi pemimpin Melayu sejak merdekalah punca segala-galanya!