PELBAGAI misteri mula melanda Tentera Udara Indonesia sejak negara itu menempah pesawat tempur Sukhoi-SU27 SKM dan Sukhoi-30MKZ dari kerajaan Rusia.
Dalam kejadian terbaru, semalam tiga juruteknik rakyat Rusia yang bertugas dalam pasukan penyenggaraan pesawat yang baru tiba di Pangkalan Udara Sultan Hasanudin di Makasar, ditemui mati.
Mereka dikenali sebagai Sergei Voronin, Alexander dan Victor Savorov, dikatakan mati mengejut selepas terbabit bersama pasukan penyenggaraannya membuat pemeriksaan terakhir ke atas dua pesawat tempur yang tiba 10 September lalu.
Menteri Kordinator Hukum, Politik dan Keamanan, Dojok Suyanto, dipetik berkata kerajaan Indonesia telah dimaklumkan mengenai kematian itu dan satu siasatan sedang dijalankan.
Selain misteri kematian terbaru ini, pesawat tempur Sukhoi-30MKZ Indonesia yang sedang menjalani latihan memintas di ruang udara Sulawesi Selatan pada Februari lalu juga berdepan kejadian aneh apabila siistem tembakan misil pada dua pesawat itu terkunci.
Kejadian itu dikesan apabila sistem amaran pesawat berbunyi dan juruterbang rakyat Rusia yang turut bersama juruterbang Indonesia di kedua-dua pesawat berkenaan mendakwa ia bukan kesilapan teknikal. Pihak tentera percaya ada pihak tertentu menggunakan sistem canggih telah membuat sabotaj mematikan sistem tembakan misil pada pesawat berkenaan.
Sehingga kini tentera Indonesia dikatakan sedang menyiasat, termasuk kemungkinan pihak luar negara itu yang melakukannya. Tentera Udara Indonesia kini mempunyai sembilan pesawat tempur jenis Sukhoi. Sebuah lagi dijangka tiba hujung bulan ini menjadikannya 10 pesawat bagi menggantikan pesawat A-4 SKY yang digunakan sebelum ini.