Dia insan yang istimewa. Anak kelahiran keluarga miskin ini dulu pernah menjadi penoreh getah untuk mencari wang tambang buat menampung keperluannya belajar di sekolah swasta untuk ulang menduduki SPM. Dia pernah menjadi kerani hanya bergaji RM400. Dia insan yang gigih dan tak pernah berpaling ke belakang dalam kehidupan ini.
Selepas perkahwinan pertamanya menemui noktah, Soosilawati mula berjinak-jinak dalam perniagaan kosmetik secara serius. Dia menebalkan muka menjual produk kosmetik dari rumah ke rumah demi menampung kehidupan. Dan dia tidak pernah menyesal melalui semua pengalaman itu kerana pengalaman itulah yang telah menjadi tangga menghantarnya tinggi ke puncak jaya.
Daripada kehidupan anak kampung yang tidak punya apa-apa, Soosilawati merentas denai dan onak duri mencari erti kehidupan yang lebih bermakna. Kegigihan, kesabaran dan semangat juangnya menjadi teman di sisi. Akhirnya dia berjaya meletakkan diri sebagai seorang ahli perniagaan kosmetik yang mampu melebarkan sayap perniagaan hingga ke luar negara. Dia telah membanggakan Kampung Seri Menanti, Batu Pahat dengan kejayaannya menjadi ahli perniagaan yang berjaya. Dia perlahan-lahan menjadi ikon kepada anak Melayu yang mahu berjaya dalam perniagaan.
Namun kini Soosilawati telah tiada. Angkara perbuatan kejam manusia bersifat serigala, dia telah diseksa sedemikian zalim dan sadis. Namun, walaupun dia telah kembali ke negeri asal, jasa dan semangatnya pasti tercatat dalam sejarah untuk dibaca oleh anak Melayu. Jadikanlah semangat dan kegigihan Soosilawati sebagai satu perangsang untuk melahirkan lebih ramai anak Melayu yang berjaya dalam bidang perniagaan.
Doakan segala yang terbaik buat allahyarham.