KES Sosilawati bukan sahaja mengajak kita untuk mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan jenayah yang telah dilakukan oleh kumpulan yang diketuai oleh seorang peguam bergelar Datuk, tetapi turut membuka mata dan minda kita berfikir sejenak.
Tentang jenayah, ia boleh berlaku dan menimpa sesiapa sahaja di antara kita tanpa mengira kedudukan atau pun status quo dalam masyarakat. Tentang jenayah, ia boleh berlaku sekelip mata jika kita kurang peka dan terleka. Tentang jenayah, ia boleh dilakukan oleh manusia yang bijak berlakon di depan mata, berlagak seperti musang berbulu ayam.
Pelaku jenayah kini lebih bijak membuat penyamaran untuk melindungi kejahatan mereka. Ini antara yang perlu kita sedar dan perlu kita berhati-hati.
Daripada kisah pembunuhan tragis ini, kita melihat bagaimana seorang peguam cuba menukar dirinya daripada seekor musang menjadi seekor ayam. Kisahnya berbuat baik di dalam komuniti tempat tinggalnya, dengan sering menghulurkan derma dan sumbangan kepada masyarakat setempat adalah salah satu kaedah penyamaran yang sedang dia lakukan. Penyamaran ini bertujuan supaya masyarakat sekeliling melihat imej dan personalitinya sentiasa berada dalam keadaan baik. Dia mahu menghidupkan warna dirinya sebagai manusia yang boleh dipercayai dan dihormati.
Tidak hairanlah, ramai penduduk sekitar tempat tinggalnya terkejut. Rata-rata menganggap dia seorang yang baik kerana sering menghulurkan derma. Penyamarannya hampir berjaya, kalau tidak kerana kes Sosilawati ini.
Malah usahanya untuk menjadi musang berbulu ayam semakin ketara apabila dia meluahkan hasrat memasuki sebuah parti politik komponen Barisan Nasional (BN). Hasratnya itu diluahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah. Kenapa dia mahu memasuki politik? Jawapannya kini adalah jelas, supaya dia dapat memasuki kandang ayam yang lebih besar dan sekaligus mendapat pelbagai peralatan dan senjata lain untuk meneruskan misinya menyamar sebagai manusia baik. Sudah tentu dia berharap dapat mewujudkan satu hubungan baik dengan pemimpin atasan politik dengan menyertai parti. Apabila hubungan baik dengan pemimpin atasan diperolehi, semakin keballah dia untuk dilindungi. Inilah sifat musang berbulu ayam.
Nasib politik di Malaysia masih baik kerana sebelum dia diterima parti, kesnya dalam pembunuhan kejam terbongkar. Tetapi kita jangan lupa. Bukan dia seorang sahaja musang berbulu ayam di dunia ini. Tentu ada yang lain juga. Dan paling kita khuatiri ialah kalau-kalau ada musang yang sudah terlepas masuk di dalam parti politik di negara kita dan telah pula menikmati keistimewaan dihormati dan dianugerahkan pangkat dan gelaran.
Demi belajar daripada pengalaman ini, saya cadangkan buat sekali lagi tapisan keselamatan ke atas semua pemimpin politik di negara kita. Kita tidak mahu penyamun, gangster dan penipu besar dilantik tanpa sedar menjadi pemimpin. Percayalah, kalau kerap kita memasang jaring, semakin kerap kita mendapat ikan. Kalau tidak percaya, cubalah!