DUA ahli peniagaan Melayu dipercayai antara empat orang yang berjaya dihilangkan oleh peguam jahanam bergelar Datuk, sebelum kes pembunuhan Sosilawati terbongkar.
Kedua-dua ahli perniagaan itu dikatakan telah pergi berurusan dengan peguam berkenaan sekitar April lalu, mengenai urusan jual beli tanah, tetapi berakhir dengan berita kehilangan mereka.
Dua yang lain adalah seorang wanita warga India berusia 19 tahun, dipercayai kekasih gelap peguam itu dan seorang lelaki juga warga India yang berjumpanya pada Januari lalu bagi perbincangan membuka kedai makanan.
Bagaimanapun, ada sumber percaya bukan sesuatu yang mengejutkan jika lebih banyak kes akan terbongkar selepas ini dan sekaligus mendedahkan bahawa peguam itu adalah ketua atau dalang bagi sebuah kumpulan samseng yang melakukan banyak kes pembunuhan.
Sementara itu, senjata bercangkuk menyerupai sabit atau celorek diperrcayai digunakan konco-konco peguam itu dalam pembunuhan Sosilawati, Ahmad Kamil, Noorhisham dan Kamarudin. Senjata itu dipercayai dibuang di Sungai Kancung Laut, Morib.
Bagaimanapun semalam, usaha menyelam bagi mencari senjata berkenaan seperti ditunjukkan suspek masih tidak berhasil, kecuali berjaya menemui seutas jam tangan dipercayai milik pemandu, Kamarudin. Bagaimanapun, polis dipercayai yakin dapat menemuinya dalam tempoh terdekat selain pelbagai bukti yang boleh membantu siasatan.
Di Pulau Pinang pula, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, ACP Roslee Chik, berkata pihaknya sedang menyiasat lokasi tanah yang dipercayai dibeli Sosilawati pada harga RM25 juta yang dikatakan menjadi pertikaian membawa kepada pembunuhan ahli perniagaan itu.