DILAPORKAN seminggu sebelum Datuk Sosilawati dibunuh dengan kejamnya seorang pekerjanya yang didakwa menggelapkan wang menerusi penipuan cek serahan pembelian barangan kosmetik Nouvelle Visage, telah menghilangkan diri.
Pekerja berusia 20-an itu turut dikatakan telah memulakan perniagaan kosmetik, tetapi banyak pihak mempersoalkan daripada mana dia mendapat modal yang banyak untuk memulakan perniagaan itu. Kejadian itu pula berlaku di pejabat Jalan Raja Bot di Chow Kit, Kuala Lumpur.
Semua dokumen transaksi serahan cek yang dikatakan diseleweng oleh pekerja terbabit telah hilang dan Sosilawati dikatakan bertungkus-lumus membuat siasatan sendiri seminggu sebelum dia dilaporkan hilang.
Malah, dukacita Sosilawati tentang berlakunya kecurangan yang dilakukan oleh pekerjanya itu turut diceritakannya kepada beberapa orang ahli keluarga serta sahabat baiknya. Namun sehingga kini difahamkan tiada laporan polis dibuat mengenai perbuatan pecah amanah pekerjanya itu.
Persoalan yang kini ingin sangat diketahui ramai ialah siapakah bekas pekerjanya yang tidak bertanggungjawab itu dan jika ada di manakah dia sekarang. Dan jika benar dia mengusahakan perniagaan kosmetik sendiri, jenama apakah yang diniagakannya kini?