SEUTAS jam lagi dipercayai milik salah seorang mangsa bunuh/bakar di ladang Gadong, Tanjung Sepat ditemui di sebatang sungai oleh sepasukan penyelam marin petang tadi, menjadikan tiga utas jam ditemui setakat ini. Pada masa yang sama, polis turut menemui beberapa keping zink yang digunakan sebagai alas untuk membakar mangsa pembunuhan.
Polis menemui zink berkenaan selepas mendapat pengakuan yang dibuat oleh suspek yang ditahan berhubung pembunuhan sadis. Suspek turut dilihat berada di beberapa tempat, di kawasan polis mencari bahan bukti.
Sementara itu seorang lagi suspek sedang diburu polis berhubung pembunuhan itu. Suspek dipercayai melarikan diri selepas mendengar khabar peguam bergelar Datuk telah ditahan polis bagi membantu kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain.
Polis Selangor pula menegaskan akan membuka semula beberapa fail yang dipercayai ada kaitan kes orang hilang, disyaki didalangi kumpulan peguam durjana itu, walaupun sebelum ini sebahagiannya kekurangan maklumat untuk membantu siasatan.