SAYA amat kasihan dan berasa malu pada diri sendiri sebaik sahaja terlihat insiden yang amat mengaibkan berlaku di sebuah kedai makan R&R Seremban arah selatan, semalam. Insiden melibatkan petugas wanita muda dan pelanggan lelaki warga emas yang bertongkat!
Insiden itu berlaku melibatkan kata-kata kurang sopan dan kurang ajar diucapkan oleh petugas kedai makan berkenaan ketika melayan pelanggan warga emas itu. Puncanya hanya kerana pelanggan berkenaan bertanyakan tentang kelewatan melayan pelanggan!
Dijawab oleh petugas perempuan muda itu dengan kata-kata menyindir dan dengan nada suara yang meninggi. Ditegur oleh pelanggan berkenaan supaya dia bercakap secara baik dan memperlahankan suara serta tidak menjawab secara kurang beradab, terutama kepada orang tua.
Apa jawab petugas biadap itu? Lebih kurang begini: "Siapa pulak biadap? Tuuttt.ttuuut" dia membebel dan menjuihkan mulutnya ke arah pelanggan warga emas itu. Akibatnya, beberapa pelanggan yang lain mula meninggalkan kedai makan berkenaan.
Moral daripada insiden ini ialah memang ada kebenarannya banyak rungutan sebelum ini tentang kebiadapan segelintir petugas kedai makan dan minuman di R&R Seremban menuju ke arah selatan.
Kenapakah kejadian seperti ini masih berlaku? Apakah kerana pemilik perniagaan tidak memantau atau memberi latihan mencukupi kepada kakitangan mereka sebelum ini? Atau pemilik perniagaan berasa amat selesa dengan keuntungan yang diperolehi sehingga mereka tidak langsung melihat masalah disiplin petugas melayan pelanggan sebagai perkara paling utama?
Saya mencuba membeli minuman di kedai berlainan selepas itu. Hal lebih kurang serupa berlaku. Lebih kurang 3 minit berdiri mundar-mandir, dua petugas perempuan seolah-olah tidak mempedulikan kehadiran saya. Demikian insiden di R&R Seremban arah selatan!
Dua tiga pelanggan yang bercerita tentang insiden menimpa warga emas tadi, turut beberapa kali menggelengkan kepala. Malah ada sesuatu yang terkeluar daripada mulut salah seorang mereka berbunyi lebih kurang begini: "Sini banyak tauke kedai orang kuat politik! Banyak dah kaya raya! Tak percaya cuba pergi semak nama dalam SSM! Itu fasal sombong nak mampus layan pelanggan!"
Barangkali, sebagai sebuah kerajaan yang sering berkata adil dan telus, sebaiknya selepas ini arahan dan peraturan mesti dikenakan kepada konsesi lebuhraya supaya peluang menjalankan perniagaan di premis R&R mesti dibuka secara terbuka.
Paling penting, bagi sahaja kepada mereka yang berniaga tempoh hanya empat tahun untuk berniaga di situ! Kemudian, peluang diberi kepada orang lain. Jika tidak, macam inilah sering terjadi. Petugas dan tauke pandang ringan dalam urusan melayan pelanggan. Sebabnya? Sebab terlalu lama tidur di atas timbunan keuntungan sehingga lupa diri!