UMAT Islam di seluruh negara diminta memberi perhatian bahawa minyak sapi jenama QBB PURE GHEE adalah TIDAK HALAL digunakan kerana pemeriksaan yang dilakukan pihak berkuasa mendapati minyak berkenaan mengandungi bahan-bahan yang meragukan.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 19 Ogos lalu telah menarik balik kelulusan halal yang diberikan berikutan produk itu disahkan sebagai tidak halal digunakan oleh umat Islam.
Peri pentingnya diingatkan, umat Islam harus berwaspada kerana menjelang perayaan Aidilfitri mereka dibimbangi terbeli dan terguna minyak sapi jenama itu dalam masakan mereka.
Pada masa yang sama, Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Mohd Mustafa Hamzah menggesa syarikat pengeluar QBB PURE GHEE segera menarik balik produk itu daripada pasaran kerana ia boleh mengelirukan umat Islam.
Demi memastikan kepentingan umat Islam di negara ini sentiasa terjaga adalah dinasihatkan supaya peringatan tentang status tidak halal minyak sapi QBB PURE GHEE ini diperpanjangkan kepada setiap lapisan masyarakat.
Ini kerana minyak berkenaan sebelum ini digunakan secara meluas dalam masakan umat Islam, khususnya melibatkan nasi minyak yang kebiasaannya disajikan pada majlis tertentu atau pada setiap hari perayaan.