DIA sering membuat penonton tidak kering gusi setiap kali berlawak dengan keupayaannya meniru aksi dan suara beberapa pemimpin negara, pada majlis atau undangan tertentu. Namun kini, Datuk Yusof Chong pergi meninggalkan kita selama-lamanya selepas lima hari dirawat di Hospital Selayang.
Kira-kira jam 3.30 petang tadi, Yusof kembali ke rahmatullah pada usia 63 tahun selepas diserang pelbagai penyakit, termasuk jantung dan darah tinggi.
Sebelum dirawat di Hospital Selayang, allahyarham dikatakan dirawat di Hospital Sungai Petani, Kedah. Bagaimanapun, atas permintaan keluarga bagi memudahkan mereka menziarahinya sepanjang tempoh menjalani rawatan allahyarham dipindahkan ke Hospital Selayang.
Jenazah allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tua, Ulu Yam, sejurus tamat solat tarawih.
Allahyarham meninggalkan lima anak, Zaliana, 32, Ita Zahirah, 30, Ahmad Nuzul, 28, Ahmad Shatri 24 dan Siti Nurbaya, 20. Isteri Allahyarham, Zaleha Osman pula telah meninggal dunia pada 1994.